Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
"mil, tahan tremco (van sapu) tu!!" jerit seorang sahabat kepadaku. Memang sukar untuk dapatkan van yg kosong waktu-waktu malam begini. Alhamdulillah, ada juga van yang tidak sarat dengan muatannya. Kelihatan seorang gadis arab dan seorang makcik arab sedang duduk di dalam van sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. "Kenapa ya van ini tidak penuh macam yang lain-lain?" getus hatiku. Mungkin juga tambangnya mahal sedikit. Almaklumlah, van ini nampak macam untuk VIP. Mahu tidak mahu, aku dan sahabatku pun terus melompat ke atas van putih yang dilengkapi dengan tempat duduk yang sungguh empuk itu.
"lamanya nak penuh van ni. bila nak jalan ni..." sahabatku tiba-tiba bersuara. Aku tidak memberi respon kerana perhatian ku tertumpu kepada gadis arab yang duduk berhadapan denganku. Gaya percakapannya dengan makcik arab yang duduk disebelahnya sungguh teratur,sopan. Jarang nak jumpa gadis arab begini. Air mukanya tenang. Suaranya halus. Mirip gadis melayu lagaknya. 
"tumpang tanya, van ni pergi arah mana ye?" tiba-tiba aku tergerak untuk menegur gadis itu. Sungguh aku memang tidak tahu. Hendak tanya kepada pemandu, dia jauh di hadapan. Suara aku pun bukannya kuat sangat untuk menandingi suara jejaka-jejaka arab yang sedang berbual di depan sana. 
"awak nak pegi mana?" soal gadis manis. "em, sabi'." jawabku perlahan. "oh, van ni tak pegi sabi'." balasnya kembali. Alamak, salah van rupanya. Memandangkan van pun sudah mula bergerak, aku pun mula berfikir dan akhirnya keputusan dibuat untuk turun di pejabat imigresen. Sepanjang perjalanan, gadis itu menjadi ramah denganku. Namanya Nadia Mahmoud. Bunyi seperti nama Melayu. Perbualan kami cuma perbualan biasa, perbualan perkenalan. Dari satu topik hingga satu topik. Ada juga yang aku tidak faham. Hanya senyum, angguk dan buat-buat faham yang mampu ku tawarkan.
Tetapi, ada satu perkara yang membuatkan aku tidak senang. Pemuda Arab di hadapanku. Sentiasa menjeling ke arahku. Lagaknya seperti tidak puas hati denganku. Barangkali dia fikir aku ingin memikat gadis ini. "Ah, biarkan je la..." fikirku sendiri. 
"dah dekat nak sampai ni mil.." Lalu sahabatku dengan lantangnya bersuara. "kami mahu turun di pejabat imigresen!". Pemuda arab yang ku nyatakan tadi terus bersuara dalam nada bergurau sambil senyum mengejek, "orang asing nak turun, menumpang di negara orang." Nadia terus menjeling ke arah pemuda itu.

Nadia: Hei, kenapa ko cakap macam tu? diorang tu lebih bagus dari ko.
Pemuda A: bagus apanya?
Nadia: Ko hafal quran?
Pemuda A: hafal...(sambil tersenyum)
Nadia: atas nama allah, ko hafal semuanya?diorang ni pelajar azhar, dah hafal satu al-quran..

Pemuda itu terdiam. Aku terkelu seribu bahasa. Sungguh, begitu tinggi sekali persepsi masyarakat terhadap pelajar melayu di sini. Mereka menganggap bahawa semua pelajar melayu sudah pun menghafal seluruh al quran sebelum datang ke azhar. Kalau pelajar agama, memang benar. Seluruh Al-quran ada di hati mereka. Tapi pelajar perubatan seperti aku? Aku masih berusaha ke arah itu. Syukur alhamdulillah, kelas Al-quran disediakan. Teringat kembali kenangan di kelas tahfiz semasa di SMKA SHAMS dahulu. Rakan-rakanku punyai azam yang cukup bagus. Sama seperti di sini. Mak,abah doakan bangah berjaya dunia dan akhirat. Aku rindu keluargaku. 
Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Setelah lama menyepi, baru hari ini saya berpeluang untuk mencoret kembali curahan idea yang nampaknya semakin hari semakin tumpul. Kali ini saya akan cuba mengupas isi hati seorang wanita walaupun pada hakikatnya saya seorang lelaki sejati dan tulen. Melihat kepada tajuk post di atas, pembaca mungkin tertanya-tanya akan maksud sebenar yang ingin saya sampaikan. Apa yang saya ingin kongsi kali ini mungkin merupakan sesuatu yang sangat penting untuk diketahui oleh kaum Adam sekalian. Jadi mari kita korek rahsia ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita.

Apabila kita bercakap mengenai perkara idaman, kadang-kadang ia seakan-akan tidak masuk akal. Cuba kita lihat wanita yang mengandung. Mereka mengidam benda yang pelik-pelik. Saya masih bujang, jadi belum ada pengalaman isteri mengandung. Tetapi melalui pemerhatian saya dalam drama-drama melayu di tv, apabila isteri mengandung, suami akan jadi pening kepala dek kerana mengidamnya isteri itu. Ada yang minta nasi beriyani ketika jam menunjukkan pukul 3 pagi. Ada juga yang mengidam makan sup selipar, tanah liat, tisu dan macam-macam lagi. Jadi, mari kita berbalik semula kepada topik asal. Sama seperti makanan yang diidam, lelaki yang diidamkan juga begitu. Sungguh susah untuk dicari kerana terlalu ideal.


Pada pendapat saya, ciri-ciri yang dicari dari seorang lelaki itu sungguh banyak. Sebagai contoh, wanita mahukan lelaki yang jujur, pandai ambil hati, kelakar, sihat, rajin, boleh ke dapur sikit-sikit dan sebagainya. Kalau mahu disenaraikan memang terlalu panjang. Tetapi terdapat 3 kriteria minimum yang diinginkan oleh wanita-wanita di luar sana. Pertama, rata-rata wanita mahukan lelaki yang bertanggungjawab dan 'caring'. Mereka mencari seorang lelaki yang mengambil berat tentang mereka, yang boleh memahami perasaan seorang wanita, yang tidak ego dan boleh bertolak ansur. Namun, tidak ramai lelaki pada hari ini yang betul-betul memahami kehendak wanita. Sebagai contoh, apabila seorang wanita menyatakan masalah mereka, mereka bukannya mahukan penyelesaian. Mereka mahukan seseorang yang boleh merasai bebanan dan berkongsi masalah itu bersama. Perkara ini yang kadang-kadang kaum Adam terlepas pandang.
Kriteria yang kedua ialah, wanita mencari lelaki yang ada pekerjaan. Elemen ini  tetap dicari walaupun wanita tersebut berkerjaya. Sudah menjadi lumrah alam, lelaki yang sepatutnya mencari nafkah untuk menyara keluarga. Mungkin ada wanita yang mencari lelaki yang kaya, tetapi bagi kebanyakan wanita, cukuplah sekadar seorang lelaki itu mampu untuk memberi keselesaan dan bukannya kemewahan. Ketiga, wanita mahukan lelaki yang beragama, yang boleh membimbing keluarganya. Pendek kata, wanita mahu seorang lelaki yang baik akhlaknya kerana apabila seseorang lelaki itu baik agamanya maka akan cantiklah peribadinya.
Mungkin akan ada lelaki yang bertanya, kenapa cuma 3 kriteria sahaja? Hakikatnya, wanita pada hari ini sudah tidak berani untuk meletakkan syarat-syarat yang mereka idam-idamkan kerana bilangan lelaki yang berkualiti sudah tidak ramai. Jumlah kaum Adam memang sudah sedia sedikit. Tambahan pula orang lelaki sudah tidak hairan dengan syarat-syarat tersebut kerana mereka tahu saham mereka makin lama makin naik dan diri mereka sudah pasti akan laku juga. Saya tidak berniat untuk menakut-nakutkan kaum Hawa tetapi saya rasa mungkin pada masa akan datang, ramai lelaki yang akan berpoligami kerana pada akhir zaman, jumlah wanita akan sangat melebihi kaum lelaki.Wallahualam.


Akhir kata, wanita tidak kisah sangat soal rupa pasangan lelakinya. Bagi mereka cukuplah sekadar sedap mata memandang dan ini merupakan berita baik bagi lelaki yang mempunyai paras rupa sederhana seperti diri penulis. Dalam perkahwinan, kita tidak akan jumpa orang yang sempurna semuanya, tetapi sifat redha dan syukur itulah yang akan menyempurnakan pasangan kita. Sekian.


p/s: Lepas ini kita akan lihat ciri-ciri perigi yang dicari timba...:)
Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Alhamdulillah, dapat juga peluang dan masa untuk berkarya. Sebenarnya saya memang ada memasang niat untuk menulis sesuatu pada setiap minggu tetapi itu semua bergantung kepada faktor masa dan kondusi internet. Peperiksaan akhir sudah semakin hampir. Genap dua minggu sahaja lagi. Baki 2 minggu (study week) inilah yang perlu digunakan untuk membuat ulangkaji pelajaran memandangkan tidak ada lagi kuliah untuk semester ini.
Sekarang ini memang merupakan musim atau boleh juga dikatakan demam peperiksaan. Di mana-mana sahaja para pelajar sedang kalut membuat persiapan menghadapi perang mental di dalam dewan peperiksaan. Tidak kurang juga ada sesetengah pelajar yang sibuk mencari pakar-pakar motivasi dengan harapan boleh mendapat kekuatan dalaman. Inilah yang dinamakan pesta motivasi.

Kalau anda adalah orang yang sedang mencari seorang pakar motivasi saat ini, saya bukanlah orang yang anda cari. Asal nak dekat periksa sahaja, pelajar mahukan motivasi. Kenapa ya? Kurang semangat kah selama ini? Ada orang suka apabila mendengar ceramah motivasi daripada Dr. Fadzilah Kamsah. Ada juga yang perlu telefon ibu bapa 5 kali sehari untuk mendapat semangat belajar. Tidak kurang juga ada golongan yang mendapat perangsang untuk kuat belajar dari kekasih hati. Kata mereka, dorongan dari kekasih untuk berjaya lebih kuat. Tambah-tambah lagi apabila belajar di kuliah yang sama. Bagi saya, kita semua adalah pakar motivasi kepada diri sendiri. Orang-orang disekeliling kita cuma boleh beri kunci untuk berjaya. Kita sendiri yang perlu membuka pintu kejayaan itu.

Semangat itu adalah seperti bara untuk bakar sate atau barbeku manakala ceramah motivasi itu pula ibarat arang kayu. Jadi untuk menjaga bara (semangat) tadi supaya terus membara, kita perlu menambah arang. Tapi dalam masa yang sama, arang kayu itu tidak boleh ditambah dengan banyak. Jadi perkara yang paling penting yang perlu dilakukan ialah sentiasa mengipas atau meniup arang yang ditambah sebentar tadi. Perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah usaha selepas mendapat suntikan semangat itulah yang paling penting kerana tanpa usaha seperti meniup bara tadi, sate yang diimpikan mungkin tidak masak sepenuhnya.

Niat belajar kena betul. Ungkapan ini sudah selalu kita dengar. Apakah maksud niat kena betul ini? Hampir semua perkara yang kita lakukan setiap hari ada niat sebelum kita lakukannya. Perkara yang dilakukan tanpa niat, dikenali sebagai tidak sengaja. Jadi adakah selama ini kita belajar di kuliah secara tidak sengaja? Sudah tentu tidak. Ada orang, belajar untuk kesenangan diri sendiri. Ada juga yang belajar untuk mendapatkan pujian. Tetapi lebih teruk jika belajar dengan niat untuk menjatuhkan orang lain. Kalau kita lihat fenomena di kampus, semua orang berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik. Life is like a race. If you do not run fast, others will overtake you. Pada hakikatnya, kita semua merupakan juara. Kita semua merupakan pelari yang paling pantas antara 300 juta benih ayahanda kita. 

Ramai pelajar yang beranggapan, dengan mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, akan menjamin kebahagiaan hidup. Tanggapan ini kurang tepat. Realitinya, gred peperiksaan itu tidak melambangkan peribadi kita sepenuhnya. Mungkin dengan gred yang baik, kita boleh mendapat pekerjaan yang baik. Tetapi belum tentu dengan pekerjaan yang baik dan pendapatan bulanan yang lumayan menjamin kita untuk mendapat kehidupan yang baik dan ketenangan hati. Sebagai contoh, benda yang paling membimbangkan manusia ialah wang dan harta benda. Orang yang banyak harta kadang-kadang tidak dapat tidur dengan lena. Sentiasa bimbang jika hartanya dicuri, dirompak dan sebagainya. (sudah lari dari topik asal)

Baiklah, berbalik kepada landasan motivasi. Bercakap soal niat belajar ini, saya teringat kepada seorang guru bahasa Arab ketika di SMKA SHAMS dahulu. Ustaz ini pernah mendapat anugerah pelajar terbaik pada zaman sekolahnya. Sehingga kini, walaupun merupakan seorang guru bahasa Arab, beliau juga masih pakar dalam subjek Sains dan sering menjadi rujukan para pelajar untuk subjek kimia, biologi, fizik dan terutama sekali Matematik Tambahan. Saya sendiri menjadi pelik. Bagaimana seorang guru bahasa arab, sangat arif dalam bidang sains? Hal ini membuktikan, jika kita menuntut sesuatu ilmu itu ikhlas kerana Allah, tidak kiralah ilmu apa sekalipun, insyaAllah ilmu itu akan sentiasa di dalam dada kita. Jadi bagaimana untuk kita ikhlas? Jawapannnya, tanyalah hati masing-masing kerana ikhlas ini tidak boleh dicari atau dibuat-buat.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya mengapa ustaz itu tidak menjadi guru subjek Sains. Kami para pelajar pernah bertanya kepada beliau akan soalan ini. Dengan tenang beliau memberitahu bahawa beliau sangat meminati Bahasa Arab. Tambah beliau, ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Dewasa ini kalau kita lihat, rata-rata pelajar universiti mengambil jurusan yang mereka tidak minat. Hal ini menyebabkan timbulnya ketidakpuasan dalam alam pekerjaan. Kerja yang dilakukan bukan atas dasar minat memanglah tidak seronok. Jika ditanya mengenai minat kepada saya, saya akan jawab, saya memang minat menulis. Saya rasa seronok. Seronok bermain dengan pendapat, pandangan dan idea orang ramai. Saya tahu saya tidak berbakat dalam menulis. Tidak seperti Hilal Asyraf yang boleh mencipta sebuah cerpen indah dalam masa satu jam. Tetapi saya percaya minat itu lebih penting. Minat untuk membaca cara orang lain berfikir dan saya bercita-cita untuk menjadi seorang psychologist kelak.

Pembaca sekalian, setelah niat sudah betul, diiringi dengan usaha, sifat optimis harus dilahirkan. Maksud optimis ialah seolah-olah kita berangan yang kita sudah berjaya. Perasaan itu adalah seperti kita nampak diri kita pada masa hadapan. Perkara ini sangat penting untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri sendiri. Dengan sikap optimis, seseorang akan bersemangat dalam menjalani kehidupan, baik demi kehidupan di dunia mahupun dalam menghadapi kehidupan akhirat kelak. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat: “Janganlah kamu bersifat lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS Ali Imran : 139)

Sikap optimis merupakan sikap yang harus dimiliki oleh setiap manusia, khususnya seorang muslim kerana dengan optimis, seorang muslim akan selalu berusaha semaksima mungkin mencapai cita-citanya dengan penuh keikhlasan kerana Allah tanpa sedikitpun rasa takut dan khuatir akan mengalami kegagalan. Dalam erti kata lain, berani untuk gagal.

Hadis nabi Muhammad menyatakan.yang artinya : “Dari abu hurairah ia berkata, telah bersabda rasulullah SAW, mukmin yang kuat akan lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, tetapi di tiap-tiap (seorang mukmin) itu ada kebaikan, beringinlah (optimis) kepada apa-apa yang memberi manfaat.” (HR Bukhari)

Dari ayat dan hadis tersebut diatas, kita harus yakin, mantap dan tidak ragu-ragu atau bimbang jika mempunyai keinginan kuat untuk melaksanakan segala cita-cita yang sesuai dengan jalan-Nya. Allah tidak menyukai orang-orang yang berputus asa atau lemah kerana sikap demikian membuka pintu pujuk rayu syaitan. Akan tetapi, optimis tanpa perhitungan dan pertimbangan yang tepat juga merupakan sesuatu yang tidak dibenarkan dan dibenci Allah.

Akhir kata, bersangka baiklah kepada Allah. Allah mempunyai rancangan yang terbaik untuk kita. Pasti ada hikmah jika kita berjaya atau gagal. Kegagalan bukan bererti kalah. Hakikatnya hanyalah kemenangan yang bertangguh. Macam slogan yang biasa kita dengar, hero kalah dahulu. Namun, umat Islam tidak cukup jika memiliki sifat sabar saja jika mahu menguasai dunia. Berani gagal dan tekun berkarya di samping sabar dan tawakal kepada pertolongan Allah adalah resipi kejayaan yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Ia menjadi satu pakej lengkap yang mesti diamalkan umat Islam. Kita hendaklah sentiasa yakin boleh! Kerana setiap musibah itu diukur untuk tidak melebihi kesanggupan manusia. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak membebankan seseorang kecuali menurut kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: Ayat 286)

Bangkit daripada kegagalan adalah perkara yang diwajibkan dalam agama kita. Bahkan haram jika berputus asa dari rahmat Allah.

“Katakanlah, wahai hamba-Ku yang melampaui batas, janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya.” (Surah al-Zumar: Ayat 53)

Pembaca yang dihormati, ingatlah kejayaan yang sebenar ialah kejayaan di akhirat. Tetapi, untuk menggapai kebahagiaan dunia dan akhirat, tidak cukup dengan beramal saja. Seorang Muslim juga dituntut untuk melandasi ibadahnya dengan ilmu dan aqidah yang mantap. Sebagaimana ditegaskan oleh Syaidina Ali Karomallohu Wajhahu, "Siapa-siapa yang ingin kebahagiaan di akhirat hendaklah ia berilmu, dan siapa-siapa yang ingin kebahagiaan dunia dan akhirat hendaklah ia berilmu dan beramal".

Rasulullah SAW juga menganjurkan kepada umatnya agar berusaha semaksima mungkin untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Sehingga banyak hadis yang menyuruh umatnya, agar memerhatikan keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat. Sebagaimana dalam salah satu hadis Rasulullah, beliau menjelaskan, "Beramallah kamu untuk kepentingan duniamu, seolah-olah kamu hidup selamanya. Dan beramallah kamu untuk kepentingan akhiratmu seolah-olah besok hari kamu akan mati".
Sekian...

p/s: Penulisan ini khas untuk diri penulis. Doakan kejayaan penulis. Pakaian yang mahal belum tentu baik atau pakaian yang murah belum tentu hina, tapi pakaian taqwa yang utama. Pakaian yang dilandasi nilai kebenaran Alquran.
Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Maksud bujang secara umumnya 'sendiri'. Macam-macam jenis bujang yang ada sehinggakan air juga ada yang bujang. Orang yang tidak berkahwin sememangnya digelar bujang (kanak-kanak kecil pun tahu maksud bujang). Kali ini saya tidak berniat untuk menulis perihal kahwin tetapi yang pasti saya menulis kerana cinta. 

Satu peristiwa yang betul-betul membuatkan hati bujang saya menangis telah berlaku semalam. Saya ingin berkongsi cerita ini dengan rakan-rakan bujang sekalian. Seperti biasa, saya berulang-alik ke kampus dengan menaiki bas setiap hari. Memandangkan diri ini masih bujang, jadi tidak perlu rasanya untuk memiliki sebuah kereta. Ketika di dalam bas, dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas habis kuliah, seorang wanita lewat 30-an, menaiki bas tersebut dengan perlahan. Dia sangat menjaga pemakaiannya. Auratnya ditutup dengan sangat sempurna. Di tangannya ada sebuah beg yang berisi gula-gula. Satu fenomena yang biasa di Mesir ini, anak-anak kecil dan wanita-wanita membawa sesuatu seperti gula-gula dengan mengharapkan simpati orang ramai kerana di sini terdapat ramai golongan yang susah. Jurang ekonomi sangat tinggi. Kalau pak Arab yang kaya, mereka memang sangat kaya. Begitu juga sebaliknya.

Berbalik kepada cerita wanita tadi. Kelihatan dia menghulurkan gula-gula kepada penumpang bas. Selesai sahaja gula-gula diedarkan, dia kembali kepada para penumpang dengan harapan ada penumpang yang ikhlas 'membeli' gula-gulanya. Sesampai sahaja di satu perhentian bas, wanita itu pun turun. Bas berhenti agak lama di perhentian itu kerana ramai penumpang yang ingin turun dan tidak kurang juga yang mahu naik. Mata saya mengekori wanita tadi yang baru sahaja turun dari bas memandangkan saya duduk di tepi tingkap ketika itu.

Sebaik turun dari bas, wanita itu terus meluru ke arah gerai roti yang bersebelahan dengan perhentian bas. Alangkah sayunya hati ini apabila melihat dia cuma membeli sekeping roti kering. Lebih meruntun jiwa ini bila mana dia duduk di satu bangku dan terus mengunyah roti itu di sebalik purdahnya. Ya Allah, hati ini menangis. Air mataku bergenang. Dadaku sebak. Beratnya ujian Mu ya Allah. Wanita itu meminta sedekah bukannya untuk pergi ber'shopping', tetapi untuk membeli sekeping roti kering buat alas perut yang sangat lapar. Ini kali pertama saya melihat peristiwa ini. Tidak mustahil jika wanita itu cuma makan roti kering setiap hari. Kita setiap hari dapat menikmati makanan yang lazat. Tetapi dia? Allah menjadikan nasibnya begitu sebagai ujian untuk kita semua. Allah mahu melihat samada kita menolong orang yang susah atau tidak. Allah mahu melihat samada kita bersyukur atau tidak.

Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (Al-Anfaal: 28)

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian. (Adz-Dzaariyaat: 19)

Terdapat banyak lagi ayat-ayat Al-Quran tentang fitnah harta dan kewajipan kita menginfakkannya andai kita ambil peduli kandungan Al-Quran. Saya sedih melihat segelintir dari kita yang bujang yang sanggup berhabis duit demi kekasih (bukan untuk suami, isteri, atau keluarga). Duit dilabur ke arah maksiat apabila keluar berdua-duaan bersama pasangan (dating), untuk keseronokan nafsu semata-mata. 

Bukankah harta itu lebih baik disedekahkan kepada yang lebih memerlukan. Saya bukan bermaksud kita perlu memberi semua harta kita kepada yang memerlukan sehingga keselesaan diri terjejas. Tetapi cara yang paling baik untuk membersihkan harta adalah melalui sedekah. Saya mahu berkongsi sedikit cerita mengenai seorang sahabat Rasulullah, seorang bangsawan yang sangat dermawan bernama Utsman bin Affan. Pada saat Perang Dzatirriqa dan Perang Ghatfahan berkecamuk, dimana Rasullullah Saw memimpin perang, Utsman dipercaya menjabat walikota Madinah. Saat Perang Tabuk, Utsman mendermakan 1000 ekor unta dan 70 ekor kuda, ditambah 1000 dirham sumbangan pribadi untuk perang Tabuk, nilainya sama dengan sepertiga biaya perang tersebut. Utsman bin Affan juga menunjukkan kedermawanannya tatkala membeli mata air yang bernama Rumah dari seorang lelaki suku Ghifar seharga 35 000 dirham. Mata air itu ia wakafkan untuk kepentingan rakyat umum. Ramai lagi sahabat-sahabat baginda yang sanggup membelanjakan seluruh harta mereka dan tidak meninggalkan sedikit pun harta peninggalan setelah mereka meninggal dunia. 

Harta bukan untuk ditumpuk, kemudian dinikmati sendiri. Seorang Muslim harus ingat bahawa ada kewajipan yang mesti dilakukan terhadap harta itu yang di dalamnya juga ada milik orang lain, agar harta yang diberikan Allah tidak sia-sia dan bisa menjadi bekal hidup, baik dunia maupun di akhirat. Keseimbangan dalam mengelola harta itulah yang ditekankan Rasulullah SAW. Inilah yang terkadang berat dilakukan, kerana menganggap harta benda yang dimiliki adalah hasil kerja keras yang harus dinikmati sendiri. Padahal, dalam harta seseorang sejatinya ada campur tangan dari Allah SWT. Karena itu, harta mesti dikelola sesuai dengan petunjuk Allah juga.

Pada satu kesempatan, Rasulullah SAW ditanya seseorang sahabatnya tentang sedekah yang paling utama. Kata beliau, ''Engkau menyedekahkan harta itu pada saat engkau dalam keadaan sihat dan di kala engkau benar-benar menginginkan harta tersebut saat itu.'' (HR Abu Dawud). 

Firman Allah, ''Engkau tak akan mendapatkan kebaikan apa pun hingga kalian menyedekahkan sebagian harta yang paling kalian cintai. Ketahuilah, apa pun yang kalian infakkan, Allah pasti mengetahuinya.'' (Ali 'Imran: 92).

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (Al-Baqarah: 264)

Berapa pun nilai harta yang disedekahkan, kita harus menganggapnya sedikit kerana kalau sampai menganggapnya banyak, maka kita akan 'ujub (bangga) dengan pemberian itu. Dari 'ujub inilah akan timbul takabbur yang pada akhirnya akan menghilangkan pahala dari sedekah itu.

Penulisan ini ditujukan khas untuk saya dan amnya kepada pembaca-pembaca bujang sekalian. Kita masih belum ada tanggungjawab kewangan terhadap keluarga (isteri dan anak-anak). Tambahan pula ramai diantara kita yang mendapat tajaan dan bantuan pelajaran yang melebihi keperluan kita. Jadi gunakanlah peluang ini untuk beramal dan bersedekah kerana ramai golongan susah di luar sana yang mengikat perut menahan lapar setiap hari. Mereka meminta simpati untuk mendapatkan sesuap makanan tetapi kita rata-ratanya melabur duit di jalan maksiat dan kemudaratan (bagi yang merokok).
Sekian...

p/s: Wanita yang diceritakan tadi mempunyai duit untuk membeli kain bagi menyempurnakan penutupan auratnya. Tetapi mengapa ada diantara kita (wanita khususnya) yang mempunyai duit namun masih tidak mampu membeli kain untuk menutup aurat? Fikir-fikirkan...
Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah, Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih-sayang di antara kamu (antara suami-isteri)"



[Surah Ar-Ruum: 21]

Seperti yang kita tahu, Nabi Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, namun tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan. Segala jenis nikmat tersedia di dalam syurga. Tetapi kekurangan yang dirasakan oleh Adam a.s ialah seorang peneman yang dapat menghilangkan rindu dan kesepian seorang diri. Itulah lumrah seorang lelaki. 


Pada suatu ketika Nabi Adam sedang nyenyak tidur, Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s. 
Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau
Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di dalam syurga. Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang. 
“Aku Hawa,” sambutnya ramah. “Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan. 



Tiada suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa....tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat. Kata-kata yang paling segar didengar Adam a.s  ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus: “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa. Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. 


Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan. “Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh ketakjuban. “Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan. Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa wanita itu didatangi, bukan mendatangi (akan dikupas di entri akan datang). 



Itulah secebis kisah cinta dari syurga yang ingin saya kongsi bersama pembaca sekalian. Sebagai seorang remaja yang sedang menginjak ke alam dewasa (seperti saya), kerinduan yang Nabi Adam alami itu sentiasa menyelubungi diri. Hati ini ingin benar tahu gerangan yang tercipta dari tulang rusuk kiri diri ini. Adakah dia orang Melayu atau orang Arab? Bagaimanakah aku akan bertemu dengannya atau sudah pun bertemu? Inilah yang dikatakan cinta itu rahsia dari Allah. 



Bagi mereka yang seangkatan dengan penulis (lewat remaja), saya rasa sudah sampai masanya untuk kita sentiasa mengamalkan doa dipertemukan dengan jodoh yang soleh dan solehah. Ini bukan bermakna kita sudah tidak sabar untuk bernikah tetapi sekadar memohon pertolongan Allah untuk mencari pasangan hidup kerana Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita.



Artinya: "Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidupku seorang diri, dan Engkaulah pewaris yang paling baik." (QS. Al-Anbiyai': 89).


RABBANA HABLANA MIN AZWAJINA WA DZURIYYATINA QURRATA AYUN WAJ ANA LIL MUTAQINA IMAMA

Artinya :
( Dan orang orang yang berkata ) : "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.


Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Ali.

~Tulang rusuk kiriku~

Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa


Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh


Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi


Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk
Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita berharap pada yang binasa
Engkaulah wanita istimewa

Sedarilah insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan

Sekian...