Farizul Syamil
Bismillahirrahmanirrahim...

Melihat kepada tajuknya sahaja, kemungkinan besar para pembaca sudah lali dengan topik ini. Tetapi percayalah bahawa topik ini akan sentiasa dikupas kerana ramai diantara kita yang masih kabur akan erti cinta itu sendiri. Saya ingin membawa pembaca sekalian mendalami erti cinta yang sebenar. Di saat saya menulis entry ini, ada seorang sahabat yang menyatakan bahawa beliau berasa geli apabila saya cuba untuk mengkaji perihal cinta. Cinta adalah anugerah dan makhluk Allah. Mengapa harus kita berasa geli ? Cinta adalah fitrah manusia. Mengapa harus kita menolaknya? Apa-apapun mari kita sama-sama kenal dengan cinta.

Cinta- sebuah perasaan yang ingin membagi bersama atau sebuah perasaan afeksi terhadap seseorang. Pendapat lainnya, cinta adalah sebuah aksi/kegiatan aktif yang dilakukan manusia terhadap objek lain, berupa pengorbanan diri, empati, perhatian, memberikan kasih sayang, membantu, menuruti perkataan, mengikuti, patuh, dan mau melakukan apapun yang diinginkan objek tersebut.


Sebenarnya konteks cinta ini luas. Adapun cinta boleh diklasifikasikan sebagai :
  1. Cinta terhadap Allah dan RasulNya
  2. Cinta terhadap keluarga, teman-teman
  3. Cinta yang romantis atau juga disebut asmara
  4. Cinta yang hanya merupakan nafsu 
  5. Cinta sesama atau juga disebut kasih sayang
  6. Cinta dirinya sendiri
  7. Cinta akan sebuah konsep tertentu
  8. Cinta akan negaranya 
  9. Cinta akan bangsa 
Berkaitan dengan topik kali ini, ingin saya membincangkan tentang cinta sesama remaja (berlainan jantina). Sebagai seorang remaja yang normal, saya rasa adalah normal bagi seseorang remaja itu jatuh cinta dengan seseorang yang berlawanan jantina dengan dirinya sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Sudah menjadi 'trend' remaja hari ini untuk mempunyai kekasih masing-masing. Saya di sini bukanlah untuk bercakap mengenai hukum-hukum Allah kerana merasakan diri ini terlalu kerdil dan masih belum layak untuk berbicara soal hukum hakam.


Pada pendapat saya 'trend' ber'couple' ini adalah ideologi dari barat di mana mereka akan berpasangan terlebih dahulu sebelum bertunang dan seterusnya berkahwin (bagi yang ingin berkahwin). Bagi mereka, ber'couple' itu membenarkan anda memiliki sepenuhnya diri pasangan. Bagi kita (orang Melayu), ber'couple' itu tidaklah sehingga ke tahap itu. Tetapi kini terdapat segilintir masyarakat Melayu yang sudah beranggapan dengan ber'couple' maka halal lah segalanya dan tidak mustahil pada masa akan datang semua orang Melayu (yang ber'couple') akan berlagak seperti pasangan suami isteri.

Islam tidak mengharamkan percintaan sesama lelaki dan perempuan tetapi perlulah di landasan yang benar. 'Couple' ini cumalah satu istilah yang boleh dianalogikan sebagai lesen ataupun sebagai alasan untuk melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Sebagai contoh, terdapat pasangan yang bukan mahram menggunakan alasan sedang bercinta untuk berjalan berpimpinan tangan dan berpeluk-pelukkan. Memang benar mereka sedang merasakan nikmat cinta. Tetapi, cinta yang seperti ini tidak dibolehkan kerana ia membawa ke lembah dosa.

Saya ingin bercakap sebagai seorang lelaki. Seperti yang kita semua tahu, lelaki mempunyai satu nafsu sahaja. Sebenarnya, apabila ada pasangan yang melakukan kesalahan maka lelaki lah yang perlu disalahkan (kerana gagal mengawal nafsu yang satu itu). Biasanya wanita sangat menyayangi pasangannya dan akan mengikut segala kemahuan pasangan. Jarang untuk kita melihat wanita yang menjadi 'starter' kerana wanita diciptakan dengan perasaan malu yang tebal. Jadi jika ada lelaki yang ingin memiliki sesuatu yang bukan miliknya (memegang tangan pasangan contohnya), maka jelaslah bahawa yang sebenarnya lelaki tersebut tidak pernah berasa ikhlas kerana Allah dalam perhubungan. Kemungkinan besar juga lelaki tersebut tidak pernah ikhlas berniat untuk menjadikan wanita (pasangannya) sebagai isteri yang sah. Saya berani bekata begini kerana saya juga seorang lelaki. Lumrah seorang lelaki mahukan wanita yang 'baru', 'elok', dan 'bersih' untuk dijadikan isteri.

Cuba kita lihat pada zaman datuk moyang kita. Mereka juga hangat bercinta tetapi jarang sungguh timbul soal keruntuhan akhlak dan sebagainya. Bagaimana mereka bercinta? Pada ketika itu, istilah 'couple' masih belum wujud dalam kalangan masyarakat muda-mudi Melayu. Jadi boleh disimpulkan mereka bercinta dalam diam. Baik lelaki dan perempuan. Perasaan cinta dan suka masih dilafaz dan bukan dipendam tetapi masing-masing mempunyai rasa malu dan apabila mereka sudah bersedia untuk berkahwin maka hasrat itu akan diutarakan kepada orang tua untuk prosedur peminangan. Akibat daripada perasaan malu ketika bercinta tadi, maka mereka berasa malu untuk keluar berdua-duaan dan berasa malu untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Lain pula halnya pada zaman ini. Apabila cinta dan suka sudah dilafaz maka istilah ber'couple' juga diisytiharkan. Sebenarnya, istilah 'couple' ini tidak bersalah. Cuma perbuatan-perbuatan yang dirasakan perlu untuk dilakukan oleh pasangan yang sudah bergelar ber'couple' itu yang salah. Mari kita ambil contoh yang paling mudah. Pasangan yang ber'couple' ini selalunya merasakan bahawa mereka perlu untuk keluar berdua sahaja bersama sebagai pasangan kekasih samada keluar menonton wayang, makan-makan, bermain boling dan sebagainya. Pada mereka, apa guna ber'couple' kalau tidak keluar bersama. Di sini kita dapat lihat penyalahgunaan istilah 'couple'. Istilah 'couple' dijadikan sebagai tiket untuk segalanya. Tidak salah rasanya kalau mahu bercinta. Tidak salah rasanya kalau mahu berjumpa. Tidak salah rasanya kalau mahu mengenal hati budi. Tetapi mestilah dengan cara yang betul. Contohnya, jikalau mahu berjumpa, janganlah hanya berdua. Walaupun kita rasa nafsu itu dapat dikawal, namun ingatlah, syaitan itu sangat licik.

Ada sesetengah pihak yang mengharamkan 'couple'. Ya, 'couple' itu memang haram jika benda yang mengundang dosa dilakukan. Jadi untuk mengelakkan daripada perkara itu berlaku, jika mahu bercinta, tidak perlulah diisytiharkan 'couple' itu. Seharusnya bagi mereka yang mahu bercinta tetapi belum bersedia untuk  mengikat tali pertunangan, lafazkanlah cinta itu kepada yang dicintai dan apabila kedua-dua pihak sudah saling mencintai, buatlah persetujuan untuk menjaga hati dan perasaan cinta masing-masing sehingga kedua-duanya bersedia untuk bertunang. Ada juga lelaki atau wanita yang berasa takut orang yang dicintai akan berpaling hati. Di sinilah kuasa cinta itu akan diuji.

Setiap orang mahukan yang terbaik untuk diri sendiri. Jadi sebelum kita mencari cinta manusia, seharusnya kita mencari cinta Allah terlebih dahulu. Ingati Allah sebelum melakukan sesuatu dan sebelum berkata sesuatu. Dapatkanlah cinta Allah dahulu, nescaya kamu akan mendapat cinta orang yang turut mencintai Allah. Latihlah diri untuk menjadi soleh kerana Allah telah menjanjikan sesuatu untuk hambaNya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). (An-Nuur:26)






Menurut Ibnu Hazm, cinta itu sukar dihuraikan. Ibnu Hazm ialah seorang ulama fiqh dan filosofi terkenal di Andalusia pada zamannya. Beliau pernah jatuh cinta sebanyak tiga kali. Di sini ingin saya ceritakan serba sedikit mengenai kisah cinta Ibnu Hazm. Cinta pertamanya bersemi ketika ia berusia 18 tahun. Sementara gadis pujaannya berumur 16 tahun. Gadis itu begitu dikaguminya. Beliau mengatakan bahawa pujaannya itu seorang yang cantik, bertabiat baik, dan bertubuh sintal. Si gadis pun pandai menyanyi dan memetik kecapi yang menjadi kebiasaan pada ketika itu.

Ibnu Hazm tergila-gilakannya. Setiap hari beliau selalu menanti gadis itu melalui hadapan rumahnya. Bagaimana Ibnu Hazm bercinta? Seperti kisah remaja pada umumnya, kisah cinta Ibnu Hazm penuh dengan romantika. Tetapi Ibnu Hazm tidak pernah melakukan maksiat dengan gadis tersebut walaupun kedua-duanya saling menyukai. Jika dikejar, si gadis berlalu dengan malu-malu dan rona wajahnya menjadi merah. Tentang kelakuannya yang malu-malu itu, Ibnu Hazm menulis: "Saya ingat bagaimana ketika saya selalu pergi ke ruangan tempat dia tinggal. Rasanya saya selalu ingin menuju pintu itu agar dapat dekat dengannya. Apabila dia melihat saya berhampiran pintu, dengan lemah lembut dia pergi ke tempat lain." Jelaslah di sini bahawa perasaan malu itu sangat-sangat penting dalam percintaan remaja. Tidak lama kemudian, Ibnu Hazm menikahi gadis tersebut ketika usianya masih di bawah 20 tahun.

Seperti yang saya katakan di atas, cinta itu sukar dihuraikan. Tetapi pada orang yang jatuh cinta terdapat petanda.

Pertama, asyik memandang orang yang dikasihi.
Kedua,segera menuju ke tempat kekasih berada, sengaja mahu mendekatinya.
Ketiga, gelisah dan gugup ketika ada seseorang yang mirip dengan orang yang dicintainya.
Keempat, kesediaan untuk melakukan hal-hal yang sebelumnya enggan dilakukannya.

Cinta awalnya permainan dan akhirnya kesungguhan. Ia tidak dapat dilukiskan tetapi harus dialami agar diketahui. Agama tidak menolaknya, syariat pun tidak melarangnya. Adapun yang mencoreng cinta itu adalah melakukan maksiat dan menuruti hawa nafsu.

Kesimpulannya, jika mahu bercinta, tidak perlulah memanggil cinta itu sebagai hubungan 'couple' kerana dikhuatiri aura istilah 'couple' itu akan menjerumuskan kita untuk mengikut telunjuk nafsu. Bercintalah sepertimana Ibnu Hazm bercinta. Semoga percintaan itu diredhai Allah. Cinta yang terbesar adalah cinta kepada Allah dan cinta sesama manusia yang dijalin kerana Allah. Cinta sesama manusia, antara lain cinta antara lawan jenis jika terjalin kerana Allah pasti diliputi oleh kesetiaan dan kesucian.

Cinta di mata seorang ulama

Akan menghinalah mereka
Yang tak mengenal cinta
Sungguh cintamu padanya wajar adanya
Mereka kata, cinta buat kau gila
Padahal kau orang paling faham agama

Bila masanya Muhammad mengharamkan cinta
Dan apakah ia menghina umatnya
Yang jatuh cinta
Janganlah kau berlagak mulia
Dengan menyebut cinta sebagai dosa

Janganlah kau pedulikan 
Apa kata orang tentang cinta
Entah yang berkata keras atau halus biasa
Bukankah manusia harus menetapi pilihannya
Bukankah kata tersembunyi
Tak bererti diam seribu bahasa

Sekian...
Farizul Syamil
Bismillahirrahmanirrahim...

Merujuk kepada tajuk entry kali ini, tentunya membuatkan hati pembaca tertanya-tanya maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis. Sebenarnya, hati ini tiba-tiba tergerak untuk menulis perihal tunang ini selepas menonton filem 'Ketika Cinta Bertasbih' . Terlebih dahulu mari kita tinjau dan selami erti perkataan 'tunang'.
"Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada nikah atau kahwin. Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat  agama Islam. Apa hikmat, faedah atau kelebihannya???  Kerana khitbah memberi peluang kepada kita semua untuk at-ta'arruf / berkenalan dengan pasangan masing-masing dari segi zahir dan batin sebelum kita bernikah atau berkahwin.
"Khitbah" di dalam bahasa Arab apabila diterjemah maknanya ke dalam Bahasa Melayu bermakna 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. "Melamar" ini juga bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah ini memakan 'masa' berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang kawasan, tempat, adat dan suasana masyarakat.
 Adapun bahasa yang paling mudah untuk menterjemah perkataan melamar ini ialah 'to reserve' or 'booking'. 

Hadis Rasulallah saw yang mafhumnya: " tidak halal  bagi kamu penjualan di atas penjualan  orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain".

Jadi jelaslah di sini bahawa cara terbaik untuk 'reserve' teman hidup adalah melalui pertunangan.

Bertunang ini sememangnya perkara yang sangat popular dalam kalangan pelajar-pelajar pengajian tinggi hari ini. Maklumlah, umur kita semakin lama semakin meningkat dewasa dan keinginan untuk berumah tangga semakin hari semakin menebal selari dengan peningkatan tahap kematangan diri. Mengikut adat budaya orang Melayu, sebelum bernikah, eloklah jika bertunang dahulu. Hal ini kerana hukum bertunang ini adalah harus tetapi Imam As-Syafie mengatakan hukumnya adalah sunat. Rasulallah juga menggalakkan pertunangan.

Rasulallah saw bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ".

Ramai pelajar yang sedang menuntut di IPT, yang ingin bertunang (booking) dengan beranggapan bahawa takut kehilangan seseorang yang sudah dirasakan sesuai untuk menjadi penyeri hidup. Fenomena ini telah menimbulkan pelbagai persoalan antaranya apakah hukum bertunang semasa diri kita belum terlintas untuk berkahwin apatah lagi tidak termampu utk berkahwin, lebih-lebih lagi sekiranya kita masih belajar dan belum bekerja?? (sila rujuk penjelasan di bawah)
                                                    
Terdapat juga segelintir masyarakat yang menggunakan istilah couple sebagai pra-tunang (topik ini akan dikupas di entry akan datang). Cukuplah sekadar diwartakan sedikit bahawa ber'couple' itu tidak sama dengan bertunang ataupun boleh juga dijelaskan bahawa istilah pra-tunang itu sebenarnya rekaan semata-mata. 
Jadi apa beza tunang dengan ber'couple'?? (minta pembaca sekalian memberikan pandangan)
Bagi pendapat saya, ber'couple' itu lebih kepada berfoya-foya dan tidak serius sedangkan apabila seseorang itu bertunang, menandakan beliau sudah bersedia untuk melayari bahtera perkahwinan. Bertunang adalah suatu ikatan yang mempunyai tempoh tertentu. Tempoh masa khitbah yang dipersetujui oleh jumhur ulamak (ramai Ulamak) ialah tempoh yang tidak panjang atau lama. Biasanya, tempoh yang paling lama pun adalah selama satu tahun.
Mengapa ber'couple', bermaksud belum bersedia untuk berkahwin??
Jawapannya sangat mudah. Kalau betul sudah bersedia untuk berkahwin, kenapa tidak terus bertunang.. Jadi jelaslah bahawa banyak perbezaan antara ber'couple' dan bertunang. Saya mengutarakan persoalan ini adalah kerana ramai di antara  kita yang berkata 'couple' itu sama sahaja dengan bertunang. Kedua-duanya bertujuan untuk mengenali hati budi. Ya, memang betul. Tetapi seharusnya kita menggunakan saluran yang lebih betul untuk mengenali hati pasangan iaitu dengan mengikat tali pertunangan.

Wajarkah bertunang ketika belajar??
Kita ambil konsep belajar di sini sebagai 'sedang menuntut di institusi pengajian tinggi' kerana mengikut logik akalnya, tidak mungkin wajar untuk kanak-kanak sekolah rendah bertunang. Jawapannya sangat mudah. Wajar bertunang bagi mereka yang sudah bersedia untuk berkahwin. Tepuk dada tanyalah hati. Sejauh manakah kesediaan kita memikul tanggungjawab. Jadi jawapan kepada persoalan hukum bertunang ketika belajar seperti yang dinyatakan di atas, hukumnya tidaklah haram kerana bertunang itu sendiri hukumnya sunat. Jadi, boleh bertunang tetapi buatlah pertimbangan rasional dengan menggunakan akal dan bukannya nafsu apabila membuat keputusan.
Sesungguhnya bertunang tidak menghalalkan pasangan itu untuk keluar berdua-duaan, melancong dan seerti dengannya kecuali bersama-sama tunang (wanita) itu ada salah seorang mahramnya.

Sabda Rasulallah saw yang bermaksud: " Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan".



Kesimpulannya, bertunanglah apabila telah bersedia. Bagi mereka yang merasakan masih belum bersedia, Rasulallah telah memberikan jawapannya 1400 tahun yang lampau.
 
Dari Ibn Mas’ood RA: (sabda saw)
“Wahai segenap pemuda, barangsiapa yang telah mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia kahwin, kerana kawin itu lebih dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu kahwin, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu akan menjadi perisai baginya.” [HR Bukhari dan Muslim]
Sekian~


Farizul Syamil
Bismillahirrahmanirrahim....

      Pengalaman sebagai seorang guru adalah antara perkara terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya.
 Sebaik sahaja tamat peperiksaan akhir A-Level, bererti kisah seorang penanam anggur akan bermula gara-gara cuti yang agak panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan. Niat di hati ini ingin berkerja di fast food restaurant, memandangkan sudah ada pengalaman berkerja di KFC dahulu. Dipendekkan cerita, ada kekosongan jawatan cashier di A&W berhampiran dengan rumah saya. Hari sebelum mulanya khidmat saya di A&W tersebut,
     "xyahla keje kat A&W tu mil...penat je badan ko nanti...bek gi mintak jadi cikgu,mana tau dapat..." mak menasihati saya.

     Malam itu saya berfikir sendiri. Ada betul nya juga cakap mak ni. Jadi pada keesokan harinya, terpaksalah saya mengecewakan restaurant manager A&W tersebut dengan pergi ke pejabat pendidikan daerah Seremban. Setelah borang permohanan menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diisi, petang itu saya dihubungi oleh seorang pegawai yang menyatakan permohonan saya telah diluluskan dan beliau meminta saya untuk melaporkan diri di SMK Seremban Jaya pada tanggal 6 Julai 2009.
   
     Berdebar-debar hati ini ketika kereta yang dipandu melintasi pagar sekolah yang bakal menjadi tempat kerjaku. Sebenarnya diri ini memang sudah biasa menjadi guru tuisyen di Kuantan dulu. Tetapi sistem di sekolah tidak sama dengan sistem di pusat tuisyen. Sesampai sahaja di pejabat sekolah, saya bertemu dengan pengetua. Alangkah terkejutnya saya kerana pengetua sekolah tersebut merupakan bekas guru saya semasa di SMKA SHAMS dahulu. Kejutan ini ditambah lagi dengan sapaan dari belakang oleh En.Mustaffa Kamal (bekas guru kaunselor SASER). Terdetik di hati bahawa alangkah kecilnya dunia ini.

     Bermulalah episod hidupku sebagai seorang guru Mathematics (menggantikan seorang guru yang cuti bersalin). Tugas seorang guru ini bukan mudah memandangkan ragam pelajar-pelajar yang pelbagai. Ada yang nakal, malas, kaki ponteng, suka bergaduh dan tidak kurang juga pelajar yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk belajar. Tetapi ada satu perangai pelajar zaman sekarang yang sangat berbeza dengan zaman ibu bapa kita. Anak-anak sekarang sudah tidak punya rasa malu dan kurang rasa hormat terhadap guru. Bayangkanlah ketika hari pertama saya mengajar, ada pelajar perempuan yang berkata..."eh, ada cikgu laki baru la...jom kejar hehehehe...." Meremang bulu roma ini tatkala dikejar seperti itu. Ada juga di antara mereka yang sangat jujur dengan mengatakan "cikgu ni comel la...hensem plak tu..." Apalah daya diri ini untuk menolak kata-kata tersebut. Hanya senyum yang mampu diukirkan.

     Kehidupan sebagai seorang guru sangat mencabar tatkala murid-murid bising di dalam kelas. Pernah suatu ketika saya meninggikan suara (marah) untuk mengatasi kebisingan yang dahsyat. Alhamdulillah, selepas kejadian itu, keadaan kelas semakin terkawal. Rutin harian saya banyak dihabiskan di bilik guru. Suasana di bilik guru sangat seronok kerana guru-guru veteran melayan saya seperti anak mereka dan terasa disayangi seperti seorang adik di mata akak-akak dan abang-abang seangkatan. Selalu juga mereka belanja saya minum, makan ketika waktu rehat. Terasa diri ini semakin matang bila bergaul dengan orang yang jauh lebih tua.

     Gaji sebagai seorang GSTT adalah berbeza mengikut kelulusan. Bayaran untuk kelulusan SPM seperti saya adalah RM42.70 sehari. Amaun ini agak lumayan untuk seorang guru bujang. Tetapi pengalaman itu lebih mahal dan tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Sesungguhnya mata ini seolah-olah baru tercelik dengan cabaran pendidikan hari ini. Ramai anak murid Melayu yang telah hanyut hinggakan ada segelintir yang sudah pandai bercumbu-cumbuan sesama pasangan hatta umur baru setahun jagung. Saya sangat terkesima dengan soalan seorang pelajar perempuan ini..."cikgu, pakwe saya ajak kissing pas abis sekolah rini...agak-agak elok tak kalau saya kiss die..?"  Apa pendapat pembaca sekalian? Saya seperti hilang kata-kata. Tidak perlu rasanya saya memberitahu pembaca sekalian jawapan saya kepada pelajar tersebut.

 Pujangga Arab pernah menyatakan: "Sesungguhnya umat yang berakhlak akan kekal, tetapi jika akhlak mereka hilang, maka hilanglah mereka."

     Perkara yang saya mahu utarakan di sini ialah akhlak dan pemikiran pelajar hari ini sudah disantapkan dengan budaya yang tidak sihat. Inilah cabaran yang paling besar untuk seorang guru yang mahukan anak didiknya menjadi orang yang cemerlang dunia dan akhirat.

     Setelah hampir dua bulan berlalu, akhirnya kontrak saya sebagai GSTT pun tamat. Guru yang diganti pun sudah bersedia untuk berkhidmat kembali. Jamuan perpisahan secara kejutan telah dirancang oleh adik-adik didikku. Sayu hati ini untuk meninggalkan mereka. Tetapi syukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang untuk mengecapi keseronokan sebagai seorang guru. Untuk anak-anak muridku, cikgu tidak akan melupakan kalian. Bagi saya, sekali anda menjadi cikgu, selamanya anda akan dipanggil cikgu......

       adik-adik didikku.......


Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti firman-Nya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

     Ya Allah, aku mohon keampunanMu. Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Dosa guru-guruku, dosa para pelajarku dan semua dosa muslimin & muslimat yang masih hidup mahupun yang telah kembali kepadaMu.
     Ya Allah, tiada daya kekuatan melainkan Engkau yang menolongku. Tiada apa yang aku miliki kerana apa yang ada adalah milikMu Ya Allah.
     Ya Allah, sesungguhnya kehidupanku hanya untuk Engkau dan keredhaanMu menjadi harapanku. Janganlah Engkau hampakan harapan kami ini Ya Allah. Tunjukilah kami ke jalan yang Engkau redhai agar kami dapat menyebarkan agamaMu yang suci Ya Allah...
     Pimpinlah kami ke jalan yang lurus. Sesungguhnya Engkau lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Robbal 'Alamin.... 




    
Farizul Syamil

Assalamualaikum, Bismillah, Alhamdulillah & Peace Be Up To You

Setelah sekian lama saya teragak-agak untuk 'create' blog bagi menyampaikan segala yang terbuku di hati untuk tatapan dan pandangan umum, akhirnya dengan izin Allah, tercipta juga. Rasanya sudah sampai masanya untuk saya mula berkarya. Adapun sesetengah individu menggunakan blog sebagai medium untuk menulis diari harian,curahan rasa hati dan tidak kurang juga blog dijadikan sebagai medan kritikan dan 'menghentam' sesetengah pihak..

Terlebih dahulu,tujuan saya 'create' blog ini bukanlah sekadar suka-suka tetapi harapan di hati ini ialah untuk berkongsi pendapat serta pengalaman dengan masyarakat umum. Sebenarnya, melalui penulisan,kita boleh meramal sikap penulis dan mengukur tahap kematangan individu tersebut. Contohnya, cuba kita bandingkan penulisan murid darjah 6 dengan coretan calon SPM. Tentunya terdapat perbezaan yang ketara. Satu perkara yang paling penting untuk berkarya ialah bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis. Elok saya menceritakan sedikit latar belakang saya kerana bak kata orang tak kenal maka tak cinta.

Nama diberi, Muhammad Farizul Syamil Bin Mohd Suhimi (a perfect knight). Dilahirkan di Hospital Daerah Batu Pahat pada tanggal 8 Disember 1990 (masih muda). Status saya kini, bujang dan mengharapkan seseorang yang terbaik untuk diri ini. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Kelana. Kemudian menyambung alam persekolahan di peringkat menengah di SMKA SHAMS dan Sek Men Sains Seremban. Kemudian pengajian diteruskan di Kolej Matrikulasi Johor dan seterusnya A-Level di Kolej Shahputra Kuantan selama dua tahun dan kini alhamdulillah, rezeki dan takdir saya ditetapkan oleh allah untuk menyingkap dan menyelongkar ilmuNya di bumi Mesir sebagai pelajar perubatan di Universiti Al-Azhar.


Ada orang kata blogging ini akan membuatkan kita addicted. Rasanya betul jugak teori ni. Sedangkan facebook,friendster,myspace n etc pon semuanya berjaya membuatkan seseorang itu melekat di depan komputer seharian suntuk. Selama ini saya cuma aktif melayari facebook dan tiba-tiba hari ini, hati saya mengatakan yang facebook sahaja tidak cukup untuk dijadikan medan dakwah dan perkongsian. Jadi sebagai muqaddimah, cukuplah sekadar saya nyatakan bahawa tiada kata seindah al-quran.


Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran.." (23, Al-Zumar)



penulis.....