Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Setelah lama menyepi, baru hari ini saya berpeluang untuk mencoret kembali curahan idea yang nampaknya semakin hari semakin tumpul. Kali ini saya akan cuba mengupas isi hati seorang wanita walaupun pada hakikatnya saya seorang lelaki sejati dan tulen. Melihat kepada tajuk post di atas, pembaca mungkin tertanya-tanya akan maksud sebenar yang ingin saya sampaikan. Apa yang saya ingin kongsi kali ini mungkin merupakan sesuatu yang sangat penting untuk diketahui oleh kaum Adam sekalian. Jadi mari kita korek rahsia ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita.

Apabila kita bercakap mengenai perkara idaman, kadang-kadang ia seakan-akan tidak masuk akal. Cuba kita lihat wanita yang mengandung. Mereka mengidam benda yang pelik-pelik. Saya masih bujang, jadi belum ada pengalaman isteri mengandung. Tetapi melalui pemerhatian saya dalam drama-drama melayu di tv, apabila isteri mengandung, suami akan jadi pening kepala dek kerana mengidamnya isteri itu. Ada yang minta nasi beriyani ketika jam menunjukkan pukul 3 pagi. Ada juga yang mengidam makan sup selipar, tanah liat, tisu dan macam-macam lagi. Jadi, mari kita berbalik semula kepada topik asal. Sama seperti makanan yang diidam, lelaki yang diidamkan juga begitu. Sungguh susah untuk dicari kerana terlalu ideal.


Pada pendapat saya, ciri-ciri yang dicari dari seorang lelaki itu sungguh banyak. Sebagai contoh, wanita mahukan lelaki yang jujur, pandai ambil hati, kelakar, sihat, rajin, boleh ke dapur sikit-sikit dan sebagainya. Kalau mahu disenaraikan memang terlalu panjang. Tetapi terdapat 3 kriteria minimum yang diinginkan oleh wanita-wanita di luar sana. Pertama, rata-rata wanita mahukan lelaki yang bertanggungjawab dan 'caring'. Mereka mencari seorang lelaki yang mengambil berat tentang mereka, yang boleh memahami perasaan seorang wanita, yang tidak ego dan boleh bertolak ansur. Namun, tidak ramai lelaki pada hari ini yang betul-betul memahami kehendak wanita. Sebagai contoh, apabila seorang wanita menyatakan masalah mereka, mereka bukannya mahukan penyelesaian. Mereka mahukan seseorang yang boleh merasai bebanan dan berkongsi masalah itu bersama. Perkara ini yang kadang-kadang kaum Adam terlepas pandang.
Kriteria yang kedua ialah, wanita mencari lelaki yang ada pekerjaan. Elemen ini  tetap dicari walaupun wanita tersebut berkerjaya. Sudah menjadi lumrah alam, lelaki yang sepatutnya mencari nafkah untuk menyara keluarga. Mungkin ada wanita yang mencari lelaki yang kaya, tetapi bagi kebanyakan wanita, cukuplah sekadar seorang lelaki itu mampu untuk memberi keselesaan dan bukannya kemewahan. Ketiga, wanita mahukan lelaki yang beragama, yang boleh membimbing keluarganya. Pendek kata, wanita mahu seorang lelaki yang baik akhlaknya kerana apabila seseorang lelaki itu baik agamanya maka akan cantiklah peribadinya.
Mungkin akan ada lelaki yang bertanya, kenapa cuma 3 kriteria sahaja? Hakikatnya, wanita pada hari ini sudah tidak berani untuk meletakkan syarat-syarat yang mereka idam-idamkan kerana bilangan lelaki yang berkualiti sudah tidak ramai. Jumlah kaum Adam memang sudah sedia sedikit. Tambahan pula orang lelaki sudah tidak hairan dengan syarat-syarat tersebut kerana mereka tahu saham mereka makin lama makin naik dan diri mereka sudah pasti akan laku juga. Saya tidak berniat untuk menakut-nakutkan kaum Hawa tetapi saya rasa mungkin pada masa akan datang, ramai lelaki yang akan berpoligami kerana pada akhir zaman, jumlah wanita akan sangat melebihi kaum lelaki.Wallahualam.


Akhir kata, wanita tidak kisah sangat soal rupa pasangan lelakinya. Bagi mereka cukuplah sekadar sedap mata memandang dan ini merupakan berita baik bagi lelaki yang mempunyai paras rupa sederhana seperti diri penulis. Dalam perkahwinan, kita tidak akan jumpa orang yang sempurna semuanya, tetapi sifat redha dan syukur itulah yang akan menyempurnakan pasangan kita. Sekian.


p/s: Lepas ini kita akan lihat ciri-ciri perigi yang dicari timba...:)