Farizul Syamil
Bismillahirrahmanirrahim...

Merujuk kepada tajuk entry kali ini, tentunya membuatkan hati pembaca tertanya-tanya maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis. Sebenarnya, hati ini tiba-tiba tergerak untuk menulis perihal tunang ini selepas menonton filem 'Ketika Cinta Bertasbih' . Terlebih dahulu mari kita tinjau dan selami erti perkataan 'tunang'.
"Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada nikah atau kahwin. Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat  agama Islam. Apa hikmat, faedah atau kelebihannya???  Kerana khitbah memberi peluang kepada kita semua untuk at-ta'arruf / berkenalan dengan pasangan masing-masing dari segi zahir dan batin sebelum kita bernikah atau berkahwin.
"Khitbah" di dalam bahasa Arab apabila diterjemah maknanya ke dalam Bahasa Melayu bermakna 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. "Melamar" ini juga bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah ini memakan 'masa' berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang kawasan, tempat, adat dan suasana masyarakat.
 Adapun bahasa yang paling mudah untuk menterjemah perkataan melamar ini ialah 'to reserve' or 'booking'. 

Hadis Rasulallah saw yang mafhumnya: " tidak halal  bagi kamu penjualan di atas penjualan  orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain".

Jadi jelaslah di sini bahawa cara terbaik untuk 'reserve' teman hidup adalah melalui pertunangan.

Bertunang ini sememangnya perkara yang sangat popular dalam kalangan pelajar-pelajar pengajian tinggi hari ini. Maklumlah, umur kita semakin lama semakin meningkat dewasa dan keinginan untuk berumah tangga semakin hari semakin menebal selari dengan peningkatan tahap kematangan diri. Mengikut adat budaya orang Melayu, sebelum bernikah, eloklah jika bertunang dahulu. Hal ini kerana hukum bertunang ini adalah harus tetapi Imam As-Syafie mengatakan hukumnya adalah sunat. Rasulallah juga menggalakkan pertunangan.

Rasulallah saw bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ".

Ramai pelajar yang sedang menuntut di IPT, yang ingin bertunang (booking) dengan beranggapan bahawa takut kehilangan seseorang yang sudah dirasakan sesuai untuk menjadi penyeri hidup. Fenomena ini telah menimbulkan pelbagai persoalan antaranya apakah hukum bertunang semasa diri kita belum terlintas untuk berkahwin apatah lagi tidak termampu utk berkahwin, lebih-lebih lagi sekiranya kita masih belajar dan belum bekerja?? (sila rujuk penjelasan di bawah)
                                                    
Terdapat juga segelintir masyarakat yang menggunakan istilah couple sebagai pra-tunang (topik ini akan dikupas di entry akan datang). Cukuplah sekadar diwartakan sedikit bahawa ber'couple' itu tidak sama dengan bertunang ataupun boleh juga dijelaskan bahawa istilah pra-tunang itu sebenarnya rekaan semata-mata. 
Jadi apa beza tunang dengan ber'couple'?? (minta pembaca sekalian memberikan pandangan)
Bagi pendapat saya, ber'couple' itu lebih kepada berfoya-foya dan tidak serius sedangkan apabila seseorang itu bertunang, menandakan beliau sudah bersedia untuk melayari bahtera perkahwinan. Bertunang adalah suatu ikatan yang mempunyai tempoh tertentu. Tempoh masa khitbah yang dipersetujui oleh jumhur ulamak (ramai Ulamak) ialah tempoh yang tidak panjang atau lama. Biasanya, tempoh yang paling lama pun adalah selama satu tahun.
Mengapa ber'couple', bermaksud belum bersedia untuk berkahwin??
Jawapannya sangat mudah. Kalau betul sudah bersedia untuk berkahwin, kenapa tidak terus bertunang.. Jadi jelaslah bahawa banyak perbezaan antara ber'couple' dan bertunang. Saya mengutarakan persoalan ini adalah kerana ramai di antara  kita yang berkata 'couple' itu sama sahaja dengan bertunang. Kedua-duanya bertujuan untuk mengenali hati budi. Ya, memang betul. Tetapi seharusnya kita menggunakan saluran yang lebih betul untuk mengenali hati pasangan iaitu dengan mengikat tali pertunangan.

Wajarkah bertunang ketika belajar??
Kita ambil konsep belajar di sini sebagai 'sedang menuntut di institusi pengajian tinggi' kerana mengikut logik akalnya, tidak mungkin wajar untuk kanak-kanak sekolah rendah bertunang. Jawapannya sangat mudah. Wajar bertunang bagi mereka yang sudah bersedia untuk berkahwin. Tepuk dada tanyalah hati. Sejauh manakah kesediaan kita memikul tanggungjawab. Jadi jawapan kepada persoalan hukum bertunang ketika belajar seperti yang dinyatakan di atas, hukumnya tidaklah haram kerana bertunang itu sendiri hukumnya sunat. Jadi, boleh bertunang tetapi buatlah pertimbangan rasional dengan menggunakan akal dan bukannya nafsu apabila membuat keputusan.
Sesungguhnya bertunang tidak menghalalkan pasangan itu untuk keluar berdua-duaan, melancong dan seerti dengannya kecuali bersama-sama tunang (wanita) itu ada salah seorang mahramnya.

Sabda Rasulallah saw yang bermaksud: " Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan".



Kesimpulannya, bertunanglah apabila telah bersedia. Bagi mereka yang merasakan masih belum bersedia, Rasulallah telah memberikan jawapannya 1400 tahun yang lampau.
 
Dari Ibn Mas’ood RA: (sabda saw)
“Wahai segenap pemuda, barangsiapa yang telah mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia kahwin, kerana kawin itu lebih dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu kahwin, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu akan menjadi perisai baginya.” [HR Bukhari dan Muslim]
Sekian~


Farizul Syamil
Bismillahirrahmanirrahim....

      Pengalaman sebagai seorang guru adalah antara perkara terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya.
 Sebaik sahaja tamat peperiksaan akhir A-Level, bererti kisah seorang penanam anggur akan bermula gara-gara cuti yang agak panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan. Niat di hati ini ingin berkerja di fast food restaurant, memandangkan sudah ada pengalaman berkerja di KFC dahulu. Dipendekkan cerita, ada kekosongan jawatan cashier di A&W berhampiran dengan rumah saya. Hari sebelum mulanya khidmat saya di A&W tersebut,
     "xyahla keje kat A&W tu mil...penat je badan ko nanti...bek gi mintak jadi cikgu,mana tau dapat..." mak menasihati saya.

     Malam itu saya berfikir sendiri. Ada betul nya juga cakap mak ni. Jadi pada keesokan harinya, terpaksalah saya mengecewakan restaurant manager A&W tersebut dengan pergi ke pejabat pendidikan daerah Seremban. Setelah borang permohanan menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diisi, petang itu saya dihubungi oleh seorang pegawai yang menyatakan permohonan saya telah diluluskan dan beliau meminta saya untuk melaporkan diri di SMK Seremban Jaya pada tanggal 6 Julai 2009.
   
     Berdebar-debar hati ini ketika kereta yang dipandu melintasi pagar sekolah yang bakal menjadi tempat kerjaku. Sebenarnya diri ini memang sudah biasa menjadi guru tuisyen di Kuantan dulu. Tetapi sistem di sekolah tidak sama dengan sistem di pusat tuisyen. Sesampai sahaja di pejabat sekolah, saya bertemu dengan pengetua. Alangkah terkejutnya saya kerana pengetua sekolah tersebut merupakan bekas guru saya semasa di SMKA SHAMS dahulu. Kejutan ini ditambah lagi dengan sapaan dari belakang oleh En.Mustaffa Kamal (bekas guru kaunselor SASER). Terdetik di hati bahawa alangkah kecilnya dunia ini.

     Bermulalah episod hidupku sebagai seorang guru Mathematics (menggantikan seorang guru yang cuti bersalin). Tugas seorang guru ini bukan mudah memandangkan ragam pelajar-pelajar yang pelbagai. Ada yang nakal, malas, kaki ponteng, suka bergaduh dan tidak kurang juga pelajar yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk belajar. Tetapi ada satu perangai pelajar zaman sekarang yang sangat berbeza dengan zaman ibu bapa kita. Anak-anak sekarang sudah tidak punya rasa malu dan kurang rasa hormat terhadap guru. Bayangkanlah ketika hari pertama saya mengajar, ada pelajar perempuan yang berkata..."eh, ada cikgu laki baru la...jom kejar hehehehe...." Meremang bulu roma ini tatkala dikejar seperti itu. Ada juga di antara mereka yang sangat jujur dengan mengatakan "cikgu ni comel la...hensem plak tu..." Apalah daya diri ini untuk menolak kata-kata tersebut. Hanya senyum yang mampu diukirkan.

     Kehidupan sebagai seorang guru sangat mencabar tatkala murid-murid bising di dalam kelas. Pernah suatu ketika saya meninggikan suara (marah) untuk mengatasi kebisingan yang dahsyat. Alhamdulillah, selepas kejadian itu, keadaan kelas semakin terkawal. Rutin harian saya banyak dihabiskan di bilik guru. Suasana di bilik guru sangat seronok kerana guru-guru veteran melayan saya seperti anak mereka dan terasa disayangi seperti seorang adik di mata akak-akak dan abang-abang seangkatan. Selalu juga mereka belanja saya minum, makan ketika waktu rehat. Terasa diri ini semakin matang bila bergaul dengan orang yang jauh lebih tua.

     Gaji sebagai seorang GSTT adalah berbeza mengikut kelulusan. Bayaran untuk kelulusan SPM seperti saya adalah RM42.70 sehari. Amaun ini agak lumayan untuk seorang guru bujang. Tetapi pengalaman itu lebih mahal dan tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Sesungguhnya mata ini seolah-olah baru tercelik dengan cabaran pendidikan hari ini. Ramai anak murid Melayu yang telah hanyut hinggakan ada segelintir yang sudah pandai bercumbu-cumbuan sesama pasangan hatta umur baru setahun jagung. Saya sangat terkesima dengan soalan seorang pelajar perempuan ini..."cikgu, pakwe saya ajak kissing pas abis sekolah rini...agak-agak elok tak kalau saya kiss die..?"  Apa pendapat pembaca sekalian? Saya seperti hilang kata-kata. Tidak perlu rasanya saya memberitahu pembaca sekalian jawapan saya kepada pelajar tersebut.

 Pujangga Arab pernah menyatakan: "Sesungguhnya umat yang berakhlak akan kekal, tetapi jika akhlak mereka hilang, maka hilanglah mereka."

     Perkara yang saya mahu utarakan di sini ialah akhlak dan pemikiran pelajar hari ini sudah disantapkan dengan budaya yang tidak sihat. Inilah cabaran yang paling besar untuk seorang guru yang mahukan anak didiknya menjadi orang yang cemerlang dunia dan akhirat.

     Setelah hampir dua bulan berlalu, akhirnya kontrak saya sebagai GSTT pun tamat. Guru yang diganti pun sudah bersedia untuk berkhidmat kembali. Jamuan perpisahan secara kejutan telah dirancang oleh adik-adik didikku. Sayu hati ini untuk meninggalkan mereka. Tetapi syukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang untuk mengecapi keseronokan sebagai seorang guru. Untuk anak-anak muridku, cikgu tidak akan melupakan kalian. Bagi saya, sekali anda menjadi cikgu, selamanya anda akan dipanggil cikgu......

       adik-adik didikku.......


Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti firman-Nya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

     Ya Allah, aku mohon keampunanMu. Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Dosa guru-guruku, dosa para pelajarku dan semua dosa muslimin & muslimat yang masih hidup mahupun yang telah kembali kepadaMu.
     Ya Allah, tiada daya kekuatan melainkan Engkau yang menolongku. Tiada apa yang aku miliki kerana apa yang ada adalah milikMu Ya Allah.
     Ya Allah, sesungguhnya kehidupanku hanya untuk Engkau dan keredhaanMu menjadi harapanku. Janganlah Engkau hampakan harapan kami ini Ya Allah. Tunjukilah kami ke jalan yang Engkau redhai agar kami dapat menyebarkan agamaMu yang suci Ya Allah...
     Pimpinlah kami ke jalan yang lurus. Sesungguhnya Engkau lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Robbal 'Alamin.... 




    
Farizul Syamil

Assalamualaikum, Bismillah, Alhamdulillah & Peace Be Up To You

Setelah sekian lama saya teragak-agak untuk 'create' blog bagi menyampaikan segala yang terbuku di hati untuk tatapan dan pandangan umum, akhirnya dengan izin Allah, tercipta juga. Rasanya sudah sampai masanya untuk saya mula berkarya. Adapun sesetengah individu menggunakan blog sebagai medium untuk menulis diari harian,curahan rasa hati dan tidak kurang juga blog dijadikan sebagai medan kritikan dan 'menghentam' sesetengah pihak..

Terlebih dahulu,tujuan saya 'create' blog ini bukanlah sekadar suka-suka tetapi harapan di hati ini ialah untuk berkongsi pendapat serta pengalaman dengan masyarakat umum. Sebenarnya, melalui penulisan,kita boleh meramal sikap penulis dan mengukur tahap kematangan individu tersebut. Contohnya, cuba kita bandingkan penulisan murid darjah 6 dengan coretan calon SPM. Tentunya terdapat perbezaan yang ketara. Satu perkara yang paling penting untuk berkarya ialah bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis. Elok saya menceritakan sedikit latar belakang saya kerana bak kata orang tak kenal maka tak cinta.

Nama diberi, Muhammad Farizul Syamil Bin Mohd Suhimi (a perfect knight). Dilahirkan di Hospital Daerah Batu Pahat pada tanggal 8 Disember 1990 (masih muda). Status saya kini, bujang dan mengharapkan seseorang yang terbaik untuk diri ini. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Kelana. Kemudian menyambung alam persekolahan di peringkat menengah di SMKA SHAMS dan Sek Men Sains Seremban. Kemudian pengajian diteruskan di Kolej Matrikulasi Johor dan seterusnya A-Level di Kolej Shahputra Kuantan selama dua tahun dan kini alhamdulillah, rezeki dan takdir saya ditetapkan oleh allah untuk menyingkap dan menyelongkar ilmuNya di bumi Mesir sebagai pelajar perubatan di Universiti Al-Azhar.


Ada orang kata blogging ini akan membuatkan kita addicted. Rasanya betul jugak teori ni. Sedangkan facebook,friendster,myspace n etc pon semuanya berjaya membuatkan seseorang itu melekat di depan komputer seharian suntuk. Selama ini saya cuma aktif melayari facebook dan tiba-tiba hari ini, hati saya mengatakan yang facebook sahaja tidak cukup untuk dijadikan medan dakwah dan perkongsian. Jadi sebagai muqaddimah, cukuplah sekadar saya nyatakan bahawa tiada kata seindah al-quran.


Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran.." (23, Al-Zumar)



penulis.....