Farizul Syamil
Bismillahirrahmanirrahim....

      Pengalaman sebagai seorang guru adalah antara perkara terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya.
 Sebaik sahaja tamat peperiksaan akhir A-Level, bererti kisah seorang penanam anggur akan bermula gara-gara cuti yang agak panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan. Niat di hati ini ingin berkerja di fast food restaurant, memandangkan sudah ada pengalaman berkerja di KFC dahulu. Dipendekkan cerita, ada kekosongan jawatan cashier di A&W berhampiran dengan rumah saya. Hari sebelum mulanya khidmat saya di A&W tersebut,
     "xyahla keje kat A&W tu mil...penat je badan ko nanti...bek gi mintak jadi cikgu,mana tau dapat..." mak menasihati saya.

     Malam itu saya berfikir sendiri. Ada betul nya juga cakap mak ni. Jadi pada keesokan harinya, terpaksalah saya mengecewakan restaurant manager A&W tersebut dengan pergi ke pejabat pendidikan daerah Seremban. Setelah borang permohanan menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diisi, petang itu saya dihubungi oleh seorang pegawai yang menyatakan permohonan saya telah diluluskan dan beliau meminta saya untuk melaporkan diri di SMK Seremban Jaya pada tanggal 6 Julai 2009.
   
     Berdebar-debar hati ini ketika kereta yang dipandu melintasi pagar sekolah yang bakal menjadi tempat kerjaku. Sebenarnya diri ini memang sudah biasa menjadi guru tuisyen di Kuantan dulu. Tetapi sistem di sekolah tidak sama dengan sistem di pusat tuisyen. Sesampai sahaja di pejabat sekolah, saya bertemu dengan pengetua. Alangkah terkejutnya saya kerana pengetua sekolah tersebut merupakan bekas guru saya semasa di SMKA SHAMS dahulu. Kejutan ini ditambah lagi dengan sapaan dari belakang oleh En.Mustaffa Kamal (bekas guru kaunselor SASER). Terdetik di hati bahawa alangkah kecilnya dunia ini.

     Bermulalah episod hidupku sebagai seorang guru Mathematics (menggantikan seorang guru yang cuti bersalin). Tugas seorang guru ini bukan mudah memandangkan ragam pelajar-pelajar yang pelbagai. Ada yang nakal, malas, kaki ponteng, suka bergaduh dan tidak kurang juga pelajar yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk belajar. Tetapi ada satu perangai pelajar zaman sekarang yang sangat berbeza dengan zaman ibu bapa kita. Anak-anak sekarang sudah tidak punya rasa malu dan kurang rasa hormat terhadap guru. Bayangkanlah ketika hari pertama saya mengajar, ada pelajar perempuan yang berkata..."eh, ada cikgu laki baru la...jom kejar hehehehe...." Meremang bulu roma ini tatkala dikejar seperti itu. Ada juga di antara mereka yang sangat jujur dengan mengatakan "cikgu ni comel la...hensem plak tu..." Apalah daya diri ini untuk menolak kata-kata tersebut. Hanya senyum yang mampu diukirkan.

     Kehidupan sebagai seorang guru sangat mencabar tatkala murid-murid bising di dalam kelas. Pernah suatu ketika saya meninggikan suara (marah) untuk mengatasi kebisingan yang dahsyat. Alhamdulillah, selepas kejadian itu, keadaan kelas semakin terkawal. Rutin harian saya banyak dihabiskan di bilik guru. Suasana di bilik guru sangat seronok kerana guru-guru veteran melayan saya seperti anak mereka dan terasa disayangi seperti seorang adik di mata akak-akak dan abang-abang seangkatan. Selalu juga mereka belanja saya minum, makan ketika waktu rehat. Terasa diri ini semakin matang bila bergaul dengan orang yang jauh lebih tua.

     Gaji sebagai seorang GSTT adalah berbeza mengikut kelulusan. Bayaran untuk kelulusan SPM seperti saya adalah RM42.70 sehari. Amaun ini agak lumayan untuk seorang guru bujang. Tetapi pengalaman itu lebih mahal dan tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Sesungguhnya mata ini seolah-olah baru tercelik dengan cabaran pendidikan hari ini. Ramai anak murid Melayu yang telah hanyut hinggakan ada segelintir yang sudah pandai bercumbu-cumbuan sesama pasangan hatta umur baru setahun jagung. Saya sangat terkesima dengan soalan seorang pelajar perempuan ini..."cikgu, pakwe saya ajak kissing pas abis sekolah rini...agak-agak elok tak kalau saya kiss die..?"  Apa pendapat pembaca sekalian? Saya seperti hilang kata-kata. Tidak perlu rasanya saya memberitahu pembaca sekalian jawapan saya kepada pelajar tersebut.

 Pujangga Arab pernah menyatakan: "Sesungguhnya umat yang berakhlak akan kekal, tetapi jika akhlak mereka hilang, maka hilanglah mereka."

     Perkara yang saya mahu utarakan di sini ialah akhlak dan pemikiran pelajar hari ini sudah disantapkan dengan budaya yang tidak sihat. Inilah cabaran yang paling besar untuk seorang guru yang mahukan anak didiknya menjadi orang yang cemerlang dunia dan akhirat.

     Setelah hampir dua bulan berlalu, akhirnya kontrak saya sebagai GSTT pun tamat. Guru yang diganti pun sudah bersedia untuk berkhidmat kembali. Jamuan perpisahan secara kejutan telah dirancang oleh adik-adik didikku. Sayu hati ini untuk meninggalkan mereka. Tetapi syukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang untuk mengecapi keseronokan sebagai seorang guru. Untuk anak-anak muridku, cikgu tidak akan melupakan kalian. Bagi saya, sekali anda menjadi cikgu, selamanya anda akan dipanggil cikgu......

       adik-adik didikku.......


Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti firman-Nya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

     Ya Allah, aku mohon keampunanMu. Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Dosa guru-guruku, dosa para pelajarku dan semua dosa muslimin & muslimat yang masih hidup mahupun yang telah kembali kepadaMu.
     Ya Allah, tiada daya kekuatan melainkan Engkau yang menolongku. Tiada apa yang aku miliki kerana apa yang ada adalah milikMu Ya Allah.
     Ya Allah, sesungguhnya kehidupanku hanya untuk Engkau dan keredhaanMu menjadi harapanku. Janganlah Engkau hampakan harapan kami ini Ya Allah. Tunjukilah kami ke jalan yang Engkau redhai agar kami dapat menyebarkan agamaMu yang suci Ya Allah...
     Pimpinlah kami ke jalan yang lurus. Sesungguhnya Engkau lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Robbal 'Alamin.... 




    
0 Responses