Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Pagi ini, saya ada menerima berita sedih dari adik saya, Firhad. Encik Yusof telah meninggal dunia pada jam 8.05 pagi tadi. Begitulah bunyi mesej yang dikirimkan melalui Facebook. Arwah merupakan jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Saya memang telah maklum bahawa arwah menghidap penyakit barah hati yang telah merebak ke paru-paru. Hari ini, ajal arwah telah tiba. Innalillahiwainnailaihirajiu'n. 10 tahun lepas, Encik Ahmad (jiran saya juga) meninggal dunia akibat kanser. Abah juga pernah menghidap kanser tapi alhamdulillah kini kesihatan abah semakin bertambah baik.



Sebenarnya saya tidak berniat untuk menulis mengenai penyakit kanser. Seperti yang kita sedia maklum, sehingga ke hari ini masih belum ada rawatan khusus untuk kanser. Cuma rawatan chemotherapy dan pembedahan yang disarankan oleh pihak hospital. Berbalik kepada topik asal kita kali ini, penyakit itu bukanlah satu kemestian untuk kematian tetapi cumalah satu asbab untuk menerangkan suatu kematian itu. Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati.  Itu adalah janji Allah. Kita juga sering mendengar bahawa tiada penyakit yang tiada ubatnya melainkan mati. Penyakit-penyakit kronik seperti AIDS, kanser, hepatitis C walaupun masih belum dijumpai kaedah rawatan yang khusus, tetapi telah ramai pesakit yang berjaya sembuh atas izin Allah. Ubat yang paling mujarab adalah yakin sepenuh hati dan doa kepada yang Maha Esa dengan mengharapkan kesembuhan. 
Ajal itu adalah urusan Allah. Tidak akan cepat atau lambat walau sedetik. "Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Qs. Al-Manafiqun : 11)
Saya mahu berkongsi sesuatu dengan para pembaca sekalian. Apabila bercakap mengenai sakit dan kematian, saya teringat kisah nabi-nabi dan para sahabat. Kisah Nabi Ayub, ketika dinasihatkan oleh isteri tersayang supaya doa kepada Allah minta sembuh segala penyakit (Nabi Ayub a.s. diuji dengan pelbagai penyakit), baginda menjawab, "biarlah aku hidup menderita, sebelum ini terlalu banyak nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada ku. Aku malu untuk minta sembuh..." Kisah Nabi Daud a.s pula, ketika berjumpa dengan malaikat maut yang datang ziarah (bukan bertujuan untuk mencabut nyawa baginda), telah berkata Nabi Daud a.s kepada Izrail, "Boleh tidak engkau mencabut nyawaku sekarang? Aku ingin merasai penderitaan maut! " 
Berkata pula Saidina Abu Bakar r.a ketika terlanggar tunggul sehingga kakinya berdarah, "Sudah beberapa hari aku susah hati kerana tiada sakit yang menimpaku seolah-olah Allah murka kepadaku yang telah banyak berbuat dosa. Tapi alhamdulillah hari ini, kaki ini telah luka berdarah terlanggar tunggul, semoga Allah mengampunkan dosaku." Kata Saidina Khalid r.a pula selaku 'pedang Allah' ketika balik dari medan peperangan, " Hati ini ingin sekali mati di jalan Mu ya Allah, nampaknya aku telah kembali ke rumah ku yang sempit dan telah meninggalkan syurga yang luas, aku cemburu kepada mereka yang mati syahid di jalan Mu ya Allah." 
Bagi para nabi dan para sahabat, mereka sangat-sangat menginginkan mati kerana mereka sedar yang dunia ini cuma sementara. Saya juga teringat kisah-kisah para laknatullah yang biasa kita dengar dari ceramah-ceramah. Apabila ditanya kepada iblis akan permintaannya yang terakhir sebelum dihalau dari syurga, iblis menjawab, "Aku mahu umur yang panjang sehingga hari kiamat! " dan Allah memperkenankan permintaannya itu. Firaun pula kita sedia maklum bahawa dia tidak pernah jatuh sakit sehinggakan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Mari kita sama-sama renungkan hadis rasulullah s.a.w. ini.
"Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya," Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?" Nabi saw, menjawab,"Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu."Seorang sahabat bertanya, 'Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?' Rasulullah saw, menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (Hr Abu Dawud dan Ahmad)
Saya lebih suka untuk menyatakan penyakit umat akhir zaman kini ialah cintakan dunia dan bencikan mati. Hal ini kerana apabila seseorang itu berasa takut akan mati maka dia akan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi kematian itu tetapi jika dia bencikan mati, tentu dia telah lalai dengan godaan dunia. Di sini saya bukanlah untuk mengatakan bahawa kita dilarang untuk memohon supaya di panjangkan umur. Kita sebenarnya digalakkan untuk berdoa supaya sihat tubuh badan dan dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki agar kita mudah untuk mencari keredhaan Allah dan beribadah kepadanya. Para nabi dan sahabat sudah dapat merasai nikmat cinta Allah dan mereka sudah tidak sabar untuk bertemu Allah. Tetapi kita? Adakah kita telah dapat cinta Allah? Adakah kita sudah sedia untuk menghadapi sakaratul maut? Cukupkah bekalan kita? Sungguh ya Allah, aku yang menulis ini belum siap untuk menghadapi takdir kematian ku. 


“Teruslah mengingat mati, karena hal tersebut akan melupakan kamu akan kesenangan dunia.” [Hadis riwayat At-Tirmidzi]


Allah berfirman:
“Katakanlah: "Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun. Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh.”[An-Nisaa, 4:77-78]
Penyakit Akhir Zaman. Cinta Dunia Benci Mati. Sungguh, pembaca sekalian.. sedar tidak sedar penyakit ini sedang melanda kita semuanya dan menjadikan manusia begitu mencintai dunia, begitu mencintai TAKHTA, HARTA dan WANITA  bahkan terlebih mencintai diri sendiri. Manusia yang diliputi oleh keegoan. Sungguh menyedihkan semua yang dikhawatirkan Baginda Rasul saat ini sudah terjadi. Berkata memang semudah membalikan telapak tangan, dengan mudah berkata saya tidak mencintai dunia, saya tidak memiliki dunia, saya adalah makhluk lemah tiada berdaya upaya. Tetapi sesungguhnya tanpa perjalanan spiritual batiniah semua hanya bohong belaka. Maka sekali lagi marilah kita semua mulai menghidupkan malam dalam tangis sujud syukur nikmat serta penyerahan diri kepadaNYA dan mulai mengatur kehidupan batin kita. Mulai belajar mancintai ALLAH sebagai SEGALANYA dalam HIDUP.. menjadikan ALLAH RAJA dalam DIRI kita semuanya. Sebelum mengakhiri coretan kali ini, saya ingin berkongsi mengenai tanda-tanda ajal semakin hampir. 

Tanda 100 hari sebelum hari mati. 

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. 
Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu 
dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. 
Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati. 

Tanda 40 hari sebelum hari mati 
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya. 

Tanda 7 hari 
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan 
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan. 

Tanda 3 hari 
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu 
di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan. 

Tanda 1 hari 
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya. 

Tanda akhir 
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. 
Wallahualam.


0 Responses