Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Jam menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Di saat sahabat-sahabat rumah sedang lena dibuai mimpi, mata ini tidak mahu lelap walaupun sudah dipaksa. Perihal destinasi kita selepas mati iaitu syurga dan neraka sentiasa berlegar di kotak fikiran penulis. Kemanakah arah tujuku selepas nyawa ini bercerai dari jasadnya? Sungguh banyak dosaku Ya Allah. Layakkah aku untuk masuk ke syurgaMu atau langsung tidak pantas bagiku walaupun hanya untuk mencium bau syurga-syurga itu. Astaghfirullah..


Para pembaca sekalian, mengapa semua orang tidak mahu masuk ke neraka? Baik yang muslim atau non-muslim, semuanya mahu ke syurga. Hal ini kerana kita semua telah sedia maklum akan keadaan neraka yang di dalamnya penuh siksa, rasa pedih dan kesedihan-kesedihan yang tidak dapat dicatat dengan pena dan tidak mungkin digambarkan dengan kata-kata. Dalam al-quran banyak ayat yang menceritakan perihal neraka sebagai peringatan untuk manusia tetapi tidak ramai di antara kita yang memerhati akan ayat-ayat ini.

Neraka adalah makhluk Allah dan wajib untuk kita percaya akan kewujudannya. Neraka itu diawasi oleh para malaikat yang sangat besar dan memiliki kekuatan yang sangat dahsyat. Jumlah malaikat yang menjaga neraka ada 19. Dalam surah Al-muddatstsir: ayat 26-30 ada menyatakan tentang jumlah malaikat ini. Kalau kita lihat, jumlah ini memang sangat sedikit. Orang-orang kafir terkecoh oleh bilangan ini. Mereka beranggapan bahawa akan mudah mengalahkan malaikat dengan jumlah yang sedikit ini. Mereka tidak menyedari bahawa satu dari malaikat sahaja memiliki kekuatan yang dapat mengalahkan manusia seluruhnya. Sebab itu kalau kita perhatikan lagi, Allah melanjutkan ayat di atas dengan ayat 31 surah Al-Muddatstsir yang menyatakan bahawa bilangan malaikat itu adalah cobaan bagi orang-orang kafir.

Semua orang mahu tahu akan letaknya neraka pada saat sekarang. Saya juga pernah tertanya-tanya akan perkara ini. Tetapi para pembaca sekalian, tidak ada nash shahih yang tegas menjelaskan lokasi neraka dan kita mestilah bersikap tawaqquf (tidak ingin memastikan) tentang lokasi neraka kerana tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah.
Neraka itu sangat lebar dan luas. Kedalamannya jauh ke bawah dan tidak dapat dijangkau dasarnya. Dalam surah Qaaf ayat 30, ketika ditanya kepada neraka jahannam apakah kamu sudah penuh? Neraka menjawab, Masih adakah tambahan? Orang-orang yang masuk neraka sangat banyak, tidak terhitung. Selain jumlahnya yang banyak, masing-masing penghuninya membesar menjadi makhluk raksasa, sehingga gigi gusinya saja seperti gunung Uhud. Walaupun sedemikian, neraka tetap dapat menampung jumlah penghuninya bahkan masih luas untuk menampung jumlah yang lain. Saya juga teringat kepada tazkirah ustaz ketika di SMKA SHAMS dulu. Sabda Rasulullah, seandainya batu sebesar tujuh kali lipat anak unta dilemparkan dari pinggir neraka dan jatuh selama 70 tahun, maka batu itu tidak akan sampai ke dasarnya.

Pintu-pintu neraka ada 7 dan neraka itu bertingkat-tingkat berbeza mengikut kepanasannya serta siksaannya. Nama-nama neraka adalah Jahannam, Lazha, Huthamah, Sa’ier, Saqar, Jahiem, Hawiyah. Saya tidak tahu akan pembahagian penghuni neraka dan tidak tahu akan susunan tingkatan neraka. Namun yang pasti ialah manusia akan mendapat siksa yang sesuai dengan dosa-dosa mereka.

Kemungkinan yang menjadi sebab paling besar mengapa kebanyakan manusia masuk neraka adalah kerana mereka mengikuti keinginan hawa nafsu yang mendorong untuk melakukan dosa. Kebanyakan penghuni neraka dari kalangan orang-orang bertauhid adalah kaum wanita. Rasullullah pernah bersabda, “Aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita”. Sahabat bertanya, “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab, “Tidak. Mereka kufur kepada keluarga, mereka mengingkari kebaikan (yang diberikan oleh suami). Andaikata kamu berbuat kebaikan kepadanya (isteri) sepanjang tahun, kemudian ia melihat sesuatu (yang tidak disenanginya) dari kamu, ia akan berkata: “Aku tidak melihat kebaikan sama sekali (darimu).” Saya tidak menyatakan tidak ada lelaki di dalam neraka, tetapi majoriti penghuni sememangnya wanita. Hal ini kerana pada umumnya, mereka dikuasai hawa nafsu dan cenderung ingin mendapatkan perhiasan dunia. Hal itu terjadi kerana nipisnya akal fikiran dan nurani mereka untuk menembus ke alam akhirat, sehingga menyebabkan lemah untuk beramal dan bersiap-siap untuk akhirat tersebut, di samping kecenderungan mereka (lebih besar dari lelaki) kepada dunia dan keindahannya.Pada kaum wanita terdapat godaan hawa nafsu dan daya pikat, maka kebanyakan mereka berpaling dan memalingkan orang lain dari akhirat. Para wanita cepat terpedaya oleh rayuan yang memalingkan mereka dari landasan agama.Mereka susah menerima ajakan orang yang menyeru kepada akhirat. Namun demikian, masih banyak juga di antara kaum wanita yang solehah. Mereka menegakkan hukum Allah, komitmen dengan ajaran syariat dan patuh kepada Allah dan RasulNya. Di antara mereka banyak juga yang taat dan menghormati suami mereka dan melebihi kaum adam dalam hal keimanan dan perbuatan amal soleh.

Saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian berkenaan dengan beberapa pendapat masyarakat tentang neraka. Terdapat segelintir daripada kita yang mempersoalkan jika Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, mengapa diciptakan neraka itu. Mengapa tidak semua orang masuk ke syurga jika betul Allah itu Maha Penyayang? Kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berfikiran sebegini. Mungkin hidayah Allah masih belum sampai kepadanya. Neraka itu diciptakan khusus untuk iblis. Manusia masuk ke neraka kerana mereka mahu sangat untuk mengikuti iblis ke neraka, dalam erti kata lain melakukan perkara-perkara yang diseru oleh iblis dan syaitan. Allah memang Maha Penyayang dan Maha Adil. Jika semua orang masuk ke syurga tidak kira yang baik atau yang jahat maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan masuk syurga secara percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga dan perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga. Atas sebab inilah neraka itu diciptakan kerana Allah itu Maha Adil. Selain itu ada juga yang beranggapan tidak menjadi masalah jika masuk ke neraka sekalipun kerana bilangan manusia ramai dan bukannya kita keseorangan di neraka. Pemikiran seperti ini sangat bahaya. Sedangkan di dalam kubur pun tidak ada sesiapa yang mempedulikan kita, tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong kita padahal kubur-kubur bersebelahan, inikan pula di dalam neraka. Semua penghuni neraka sibuk dengan siksaan masing-masing dan siksaan-siksaan itu sangat dahsyat. Seandainya manusia itu tahu akan keadaan siksaan di neraka, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk melakukan amal dan mencari keredhaan Allah.

Peringatan ini adalah khusus untuk diri penulis. Akhir kata, Imam Bukhari meriwayatkan hadits dari Abu Sa’id, ia berkata: Rasulullah bersabda, “Carilah kesejukan dengan melakukan solat! Kerana sesungguhnya udara yang sangat panas itu dari hembusan neraka jahannam.” 

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ.
“Ya Allah, Sesungguhnya aku ber-lindung kepadaMu dari siksaan kubur, siksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta dari kejahatan fitnah Almasih Dajjal.”
Sekian...
0 Responses