Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Maksud bujang secara umumnya 'sendiri'. Macam-macam jenis bujang yang ada sehinggakan air juga ada yang bujang. Orang yang tidak berkahwin sememangnya digelar bujang (kanak-kanak kecil pun tahu maksud bujang). Kali ini saya tidak berniat untuk menulis perihal kahwin tetapi yang pasti saya menulis kerana cinta. 

Satu peristiwa yang betul-betul membuatkan hati bujang saya menangis telah berlaku semalam. Saya ingin berkongsi cerita ini dengan rakan-rakan bujang sekalian. Seperti biasa, saya berulang-alik ke kampus dengan menaiki bas setiap hari. Memandangkan diri ini masih bujang, jadi tidak perlu rasanya untuk memiliki sebuah kereta. Ketika di dalam bas, dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas habis kuliah, seorang wanita lewat 30-an, menaiki bas tersebut dengan perlahan. Dia sangat menjaga pemakaiannya. Auratnya ditutup dengan sangat sempurna. Di tangannya ada sebuah beg yang berisi gula-gula. Satu fenomena yang biasa di Mesir ini, anak-anak kecil dan wanita-wanita membawa sesuatu seperti gula-gula dengan mengharapkan simpati orang ramai kerana di sini terdapat ramai golongan yang susah. Jurang ekonomi sangat tinggi. Kalau pak Arab yang kaya, mereka memang sangat kaya. Begitu juga sebaliknya.

Berbalik kepada cerita wanita tadi. Kelihatan dia menghulurkan gula-gula kepada penumpang bas. Selesai sahaja gula-gula diedarkan, dia kembali kepada para penumpang dengan harapan ada penumpang yang ikhlas 'membeli' gula-gulanya. Sesampai sahaja di satu perhentian bas, wanita itu pun turun. Bas berhenti agak lama di perhentian itu kerana ramai penumpang yang ingin turun dan tidak kurang juga yang mahu naik. Mata saya mengekori wanita tadi yang baru sahaja turun dari bas memandangkan saya duduk di tepi tingkap ketika itu.

Sebaik turun dari bas, wanita itu terus meluru ke arah gerai roti yang bersebelahan dengan perhentian bas. Alangkah sayunya hati ini apabila melihat dia cuma membeli sekeping roti kering. Lebih meruntun jiwa ini bila mana dia duduk di satu bangku dan terus mengunyah roti itu di sebalik purdahnya. Ya Allah, hati ini menangis. Air mataku bergenang. Dadaku sebak. Beratnya ujian Mu ya Allah. Wanita itu meminta sedekah bukannya untuk pergi ber'shopping', tetapi untuk membeli sekeping roti kering buat alas perut yang sangat lapar. Ini kali pertama saya melihat peristiwa ini. Tidak mustahil jika wanita itu cuma makan roti kering setiap hari. Kita setiap hari dapat menikmati makanan yang lazat. Tetapi dia? Allah menjadikan nasibnya begitu sebagai ujian untuk kita semua. Allah mahu melihat samada kita menolong orang yang susah atau tidak. Allah mahu melihat samada kita bersyukur atau tidak.

Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (Al-Anfaal: 28)

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian. (Adz-Dzaariyaat: 19)

Terdapat banyak lagi ayat-ayat Al-Quran tentang fitnah harta dan kewajipan kita menginfakkannya andai kita ambil peduli kandungan Al-Quran. Saya sedih melihat segelintir dari kita yang bujang yang sanggup berhabis duit demi kekasih (bukan untuk suami, isteri, atau keluarga). Duit dilabur ke arah maksiat apabila keluar berdua-duaan bersama pasangan (dating), untuk keseronokan nafsu semata-mata. 

Bukankah harta itu lebih baik disedekahkan kepada yang lebih memerlukan. Saya bukan bermaksud kita perlu memberi semua harta kita kepada yang memerlukan sehingga keselesaan diri terjejas. Tetapi cara yang paling baik untuk membersihkan harta adalah melalui sedekah. Saya mahu berkongsi sedikit cerita mengenai seorang sahabat Rasulullah, seorang bangsawan yang sangat dermawan bernama Utsman bin Affan. Pada saat Perang Dzatirriqa dan Perang Ghatfahan berkecamuk, dimana Rasullullah Saw memimpin perang, Utsman dipercaya menjabat walikota Madinah. Saat Perang Tabuk, Utsman mendermakan 1000 ekor unta dan 70 ekor kuda, ditambah 1000 dirham sumbangan pribadi untuk perang Tabuk, nilainya sama dengan sepertiga biaya perang tersebut. Utsman bin Affan juga menunjukkan kedermawanannya tatkala membeli mata air yang bernama Rumah dari seorang lelaki suku Ghifar seharga 35 000 dirham. Mata air itu ia wakafkan untuk kepentingan rakyat umum. Ramai lagi sahabat-sahabat baginda yang sanggup membelanjakan seluruh harta mereka dan tidak meninggalkan sedikit pun harta peninggalan setelah mereka meninggal dunia. 

Harta bukan untuk ditumpuk, kemudian dinikmati sendiri. Seorang Muslim harus ingat bahawa ada kewajipan yang mesti dilakukan terhadap harta itu yang di dalamnya juga ada milik orang lain, agar harta yang diberikan Allah tidak sia-sia dan bisa menjadi bekal hidup, baik dunia maupun di akhirat. Keseimbangan dalam mengelola harta itulah yang ditekankan Rasulullah SAW. Inilah yang terkadang berat dilakukan, kerana menganggap harta benda yang dimiliki adalah hasil kerja keras yang harus dinikmati sendiri. Padahal, dalam harta seseorang sejatinya ada campur tangan dari Allah SWT. Karena itu, harta mesti dikelola sesuai dengan petunjuk Allah juga.

Pada satu kesempatan, Rasulullah SAW ditanya seseorang sahabatnya tentang sedekah yang paling utama. Kata beliau, ''Engkau menyedekahkan harta itu pada saat engkau dalam keadaan sihat dan di kala engkau benar-benar menginginkan harta tersebut saat itu.'' (HR Abu Dawud). 

Firman Allah, ''Engkau tak akan mendapatkan kebaikan apa pun hingga kalian menyedekahkan sebagian harta yang paling kalian cintai. Ketahuilah, apa pun yang kalian infakkan, Allah pasti mengetahuinya.'' (Ali 'Imran: 92).

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (Al-Baqarah: 264)

Berapa pun nilai harta yang disedekahkan, kita harus menganggapnya sedikit kerana kalau sampai menganggapnya banyak, maka kita akan 'ujub (bangga) dengan pemberian itu. Dari 'ujub inilah akan timbul takabbur yang pada akhirnya akan menghilangkan pahala dari sedekah itu.

Penulisan ini ditujukan khas untuk saya dan amnya kepada pembaca-pembaca bujang sekalian. Kita masih belum ada tanggungjawab kewangan terhadap keluarga (isteri dan anak-anak). Tambahan pula ramai diantara kita yang mendapat tajaan dan bantuan pelajaran yang melebihi keperluan kita. Jadi gunakanlah peluang ini untuk beramal dan bersedekah kerana ramai golongan susah di luar sana yang mengikat perut menahan lapar setiap hari. Mereka meminta simpati untuk mendapatkan sesuap makanan tetapi kita rata-ratanya melabur duit di jalan maksiat dan kemudaratan (bagi yang merokok).
Sekian...

p/s: Wanita yang diceritakan tadi mempunyai duit untuk membeli kain bagi menyempurnakan penutupan auratnya. Tetapi mengapa ada diantara kita (wanita khususnya) yang mempunyai duit namun masih tidak mampu membeli kain untuk menutup aurat? Fikir-fikirkan...