Farizul Syamil
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Alhamdulillah, dapat juga peluang dan masa untuk berkarya. Sebenarnya saya memang ada memasang niat untuk menulis sesuatu pada setiap minggu tetapi itu semua bergantung kepada faktor masa dan kondusi internet. Peperiksaan akhir sudah semakin hampir. Genap dua minggu sahaja lagi. Baki 2 minggu (study week) inilah yang perlu digunakan untuk membuat ulangkaji pelajaran memandangkan tidak ada lagi kuliah untuk semester ini.
Sekarang ini memang merupakan musim atau boleh juga dikatakan demam peperiksaan. Di mana-mana sahaja para pelajar sedang kalut membuat persiapan menghadapi perang mental di dalam dewan peperiksaan. Tidak kurang juga ada sesetengah pelajar yang sibuk mencari pakar-pakar motivasi dengan harapan boleh mendapat kekuatan dalaman. Inilah yang dinamakan pesta motivasi.

Kalau anda adalah orang yang sedang mencari seorang pakar motivasi saat ini, saya bukanlah orang yang anda cari. Asal nak dekat periksa sahaja, pelajar mahukan motivasi. Kenapa ya? Kurang semangat kah selama ini? Ada orang suka apabila mendengar ceramah motivasi daripada Dr. Fadzilah Kamsah. Ada juga yang perlu telefon ibu bapa 5 kali sehari untuk mendapat semangat belajar. Tidak kurang juga ada golongan yang mendapat perangsang untuk kuat belajar dari kekasih hati. Kata mereka, dorongan dari kekasih untuk berjaya lebih kuat. Tambah-tambah lagi apabila belajar di kuliah yang sama. Bagi saya, kita semua adalah pakar motivasi kepada diri sendiri. Orang-orang disekeliling kita cuma boleh beri kunci untuk berjaya. Kita sendiri yang perlu membuka pintu kejayaan itu.

Semangat itu adalah seperti bara untuk bakar sate atau barbeku manakala ceramah motivasi itu pula ibarat arang kayu. Jadi untuk menjaga bara (semangat) tadi supaya terus membara, kita perlu menambah arang. Tapi dalam masa yang sama, arang kayu itu tidak boleh ditambah dengan banyak. Jadi perkara yang paling penting yang perlu dilakukan ialah sentiasa mengipas atau meniup arang yang ditambah sebentar tadi. Perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah usaha selepas mendapat suntikan semangat itulah yang paling penting kerana tanpa usaha seperti meniup bara tadi, sate yang diimpikan mungkin tidak masak sepenuhnya.

Niat belajar kena betul. Ungkapan ini sudah selalu kita dengar. Apakah maksud niat kena betul ini? Hampir semua perkara yang kita lakukan setiap hari ada niat sebelum kita lakukannya. Perkara yang dilakukan tanpa niat, dikenali sebagai tidak sengaja. Jadi adakah selama ini kita belajar di kuliah secara tidak sengaja? Sudah tentu tidak. Ada orang, belajar untuk kesenangan diri sendiri. Ada juga yang belajar untuk mendapatkan pujian. Tetapi lebih teruk jika belajar dengan niat untuk menjatuhkan orang lain. Kalau kita lihat fenomena di kampus, semua orang berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik. Life is like a race. If you do not run fast, others will overtake you. Pada hakikatnya, kita semua merupakan juara. Kita semua merupakan pelari yang paling pantas antara 300 juta benih ayahanda kita. 

Ramai pelajar yang beranggapan, dengan mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, akan menjamin kebahagiaan hidup. Tanggapan ini kurang tepat. Realitinya, gred peperiksaan itu tidak melambangkan peribadi kita sepenuhnya. Mungkin dengan gred yang baik, kita boleh mendapat pekerjaan yang baik. Tetapi belum tentu dengan pekerjaan yang baik dan pendapatan bulanan yang lumayan menjamin kita untuk mendapat kehidupan yang baik dan ketenangan hati. Sebagai contoh, benda yang paling membimbangkan manusia ialah wang dan harta benda. Orang yang banyak harta kadang-kadang tidak dapat tidur dengan lena. Sentiasa bimbang jika hartanya dicuri, dirompak dan sebagainya. (sudah lari dari topik asal)

Baiklah, berbalik kepada landasan motivasi. Bercakap soal niat belajar ini, saya teringat kepada seorang guru bahasa Arab ketika di SMKA SHAMS dahulu. Ustaz ini pernah mendapat anugerah pelajar terbaik pada zaman sekolahnya. Sehingga kini, walaupun merupakan seorang guru bahasa Arab, beliau juga masih pakar dalam subjek Sains dan sering menjadi rujukan para pelajar untuk subjek kimia, biologi, fizik dan terutama sekali Matematik Tambahan. Saya sendiri menjadi pelik. Bagaimana seorang guru bahasa arab, sangat arif dalam bidang sains? Hal ini membuktikan, jika kita menuntut sesuatu ilmu itu ikhlas kerana Allah, tidak kiralah ilmu apa sekalipun, insyaAllah ilmu itu akan sentiasa di dalam dada kita. Jadi bagaimana untuk kita ikhlas? Jawapannnya, tanyalah hati masing-masing kerana ikhlas ini tidak boleh dicari atau dibuat-buat.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya mengapa ustaz itu tidak menjadi guru subjek Sains. Kami para pelajar pernah bertanya kepada beliau akan soalan ini. Dengan tenang beliau memberitahu bahawa beliau sangat meminati Bahasa Arab. Tambah beliau, ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Dewasa ini kalau kita lihat, rata-rata pelajar universiti mengambil jurusan yang mereka tidak minat. Hal ini menyebabkan timbulnya ketidakpuasan dalam alam pekerjaan. Kerja yang dilakukan bukan atas dasar minat memanglah tidak seronok. Jika ditanya mengenai minat kepada saya, saya akan jawab, saya memang minat menulis. Saya rasa seronok. Seronok bermain dengan pendapat, pandangan dan idea orang ramai. Saya tahu saya tidak berbakat dalam menulis. Tidak seperti Hilal Asyraf yang boleh mencipta sebuah cerpen indah dalam masa satu jam. Tetapi saya percaya minat itu lebih penting. Minat untuk membaca cara orang lain berfikir dan saya bercita-cita untuk menjadi seorang psychologist kelak.

Pembaca sekalian, setelah niat sudah betul, diiringi dengan usaha, sifat optimis harus dilahirkan. Maksud optimis ialah seolah-olah kita berangan yang kita sudah berjaya. Perasaan itu adalah seperti kita nampak diri kita pada masa hadapan. Perkara ini sangat penting untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri sendiri. Dengan sikap optimis, seseorang akan bersemangat dalam menjalani kehidupan, baik demi kehidupan di dunia mahupun dalam menghadapi kehidupan akhirat kelak. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat: “Janganlah kamu bersifat lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS Ali Imran : 139)

Sikap optimis merupakan sikap yang harus dimiliki oleh setiap manusia, khususnya seorang muslim kerana dengan optimis, seorang muslim akan selalu berusaha semaksima mungkin mencapai cita-citanya dengan penuh keikhlasan kerana Allah tanpa sedikitpun rasa takut dan khuatir akan mengalami kegagalan. Dalam erti kata lain, berani untuk gagal.

Hadis nabi Muhammad menyatakan.yang artinya : “Dari abu hurairah ia berkata, telah bersabda rasulullah SAW, mukmin yang kuat akan lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, tetapi di tiap-tiap (seorang mukmin) itu ada kebaikan, beringinlah (optimis) kepada apa-apa yang memberi manfaat.” (HR Bukhari)

Dari ayat dan hadis tersebut diatas, kita harus yakin, mantap dan tidak ragu-ragu atau bimbang jika mempunyai keinginan kuat untuk melaksanakan segala cita-cita yang sesuai dengan jalan-Nya. Allah tidak menyukai orang-orang yang berputus asa atau lemah kerana sikap demikian membuka pintu pujuk rayu syaitan. Akan tetapi, optimis tanpa perhitungan dan pertimbangan yang tepat juga merupakan sesuatu yang tidak dibenarkan dan dibenci Allah.

Akhir kata, bersangka baiklah kepada Allah. Allah mempunyai rancangan yang terbaik untuk kita. Pasti ada hikmah jika kita berjaya atau gagal. Kegagalan bukan bererti kalah. Hakikatnya hanyalah kemenangan yang bertangguh. Macam slogan yang biasa kita dengar, hero kalah dahulu. Namun, umat Islam tidak cukup jika memiliki sifat sabar saja jika mahu menguasai dunia. Berani gagal dan tekun berkarya di samping sabar dan tawakal kepada pertolongan Allah adalah resipi kejayaan yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Ia menjadi satu pakej lengkap yang mesti diamalkan umat Islam. Kita hendaklah sentiasa yakin boleh! Kerana setiap musibah itu diukur untuk tidak melebihi kesanggupan manusia. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak membebankan seseorang kecuali menurut kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: Ayat 286)

Bangkit daripada kegagalan adalah perkara yang diwajibkan dalam agama kita. Bahkan haram jika berputus asa dari rahmat Allah.

“Katakanlah, wahai hamba-Ku yang melampaui batas, janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya.” (Surah al-Zumar: Ayat 53)

Pembaca yang dihormati, ingatlah kejayaan yang sebenar ialah kejayaan di akhirat. Tetapi, untuk menggapai kebahagiaan dunia dan akhirat, tidak cukup dengan beramal saja. Seorang Muslim juga dituntut untuk melandasi ibadahnya dengan ilmu dan aqidah yang mantap. Sebagaimana ditegaskan oleh Syaidina Ali Karomallohu Wajhahu, "Siapa-siapa yang ingin kebahagiaan di akhirat hendaklah ia berilmu, dan siapa-siapa yang ingin kebahagiaan dunia dan akhirat hendaklah ia berilmu dan beramal".

Rasulullah SAW juga menganjurkan kepada umatnya agar berusaha semaksima mungkin untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Sehingga banyak hadis yang menyuruh umatnya, agar memerhatikan keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat. Sebagaimana dalam salah satu hadis Rasulullah, beliau menjelaskan, "Beramallah kamu untuk kepentingan duniamu, seolah-olah kamu hidup selamanya. Dan beramallah kamu untuk kepentingan akhiratmu seolah-olah besok hari kamu akan mati".
Sekian...

p/s: Penulisan ini khas untuk diri penulis. Doakan kejayaan penulis. Pakaian yang mahal belum tentu baik atau pakaian yang murah belum tentu hina, tapi pakaian taqwa yang utama. Pakaian yang dilandasi nilai kebenaran Alquran.
2 Responses
  1. FaizydahErma Says:

    goodLuck syamil..
    aku pun ade niat nak jd psychologist gk.. :)


  2. time kasih~
    jadi psychologist mmg best...:)